JOHOR BAHRU: Kereta berdaftar Singapura yang memasuki Johor dengan memasang logo menyokong kempen sebuah parti politik di Malaysia merupakan tindakan individu yang kewarganegaraan mereka tidak jelas, kata Konsul Besar Singapura di Johor Bahru.Dalam satu kenyataan, pejabat Konsul Besar itu menerangkan ada menerima memorandum mengenai perkara itu. "Konsul Besar juga ingin menyatakan dengan tegas bahawa Singapura tidak mencampuri urusan politik domestik negara-negara lain, seperti juga kami mengharapkan negara-negara lain tidak mencampuri urusan politik domestik Singapura," kata kenyataan itu.Dilaporkan hari ini bahawa Barisan Nasional (BN) Pasir Gudang mengadakan demonstrasi aman membantah kereta berdaftar Singapura memasang logo menyokong kempen politik di City Square.Mereka juga menyerahkan memorandum kepada wakil Konsul Besar itu. -BERNAMA