suria

Singapura Tahan Pelukis Kartun Satira Politik

SINGAPURA: Pihak berkuasa telah menahan seorang pelukis kartun rakyat tempatan kerana mempersendakan kerajaan dalam hasil karyanya yang berbentuk satira politik dan kemudian dimuatnaikkan di ruangan sosial 'Facebook'.

Leslie Chew, 37, dikatakan menghasilkan karya satira yang mempersendakan kerajaan sebagai bersikap rasis ke atas kaum minoriti Melayu.

Dia kemudiannya telah dibebaskan atas ikat jamin sebanyak S$10,000 malam Ahad lalu sementara menunggu siasatan ke atasnya di bawah Akta Hasutan selesai dijalankan.

Chew ditahan Jumaat lalu. Dua hari sebelum itu, aduan telah dibuat ke atas Chew kerana karya satiranya yang memperlihatkan watak kartun yang mempersendakan kerajaan kerana bersikap rasis ke atas kaum minoriti Melayu.

Peguam Chew, Choo Zheng Xi mengesahkan mengenai penangkapannya itu kepada agensi berita antarabangsa, AFP.

Lakaran kartun yang dilukis Chew itu telah dimuatnaikkan ke dalam Facebooknya yang berjudul "Demon-cratic Singapore" pada 27 Mac lalu.

Kartun itu menceritakan tentang bagaimana seorang ahli politik sedang berucap di hadapan orang ramai dan memuji bakat yang ada pada kaum India, Cina dan juga kacukan Caucasian tanpa menyebut masyarakat Melayu.

Kemudian satu watak lain dari kalangan orang ramai itu dilukis menjawab balik dengan berkata; "Apa?, Tidak sebut langsung bakat orang Melayu?", yang mana kemudian satu karakter lagi pula menjawab; "Cis, tak guna...kerajaan rasis."

laman Facebook Chew mempunyai 21,000 orang pengikut setia.

Bercakap kepada AFP pada Rabu, Chew menegaskan yang dia berasa terkejut dengan dakwaan yang dikenakan ke atasnya dan juga ditahan polis di bawah Akta Hasutan.

"Saya fikir saya telah menjelaskan dengan terang dan jelas yang ruangan saya itu tiada kena mengena dengan mana-mana karakter dan adalah fiksyen semata-mata," katanya.

Bagaimanapun kata Chew, tindakan ke atasnya itu tidak sedikit pun menjejaskan semangatnya untuk terus berkarya.

"Apa yang saya lakukan ini adalah untuk jenaka dan ketawa tidak lebih dari itu," ujarnya lagi.

Chew, yang tidak melakukan apa-apa kerja lain melainkan melukis bergantung harap kepada sumbangan para pengikut setianya untuk hidup.

Singapura dengan 3.8 juta penduduk adalah sebuah negara pelbagai bangsa tetapi masyarakat Cina adalah kaum majoriti dengan 74 peratus diikuti oleh masyarakat Melayu sebanyak 13.3 peratus dan selebihnya adalah kaum India, Eurasian dan lain-lain bangsa minoriti.

Jika didapati bersalah, Chew boleh dijatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun atau denda maksimum sebanyak S$5,000 atau kedua-duanya sekali.

Artikel Lain