suria

China Rancang Bina Terowong Dasar Laut Terpanjang Di Dunia

BEIJING: China merancang untuk membina terowong dasar laut terpanjang di dunia, kata seorang pakar yang terlibat dalam projek itu kepada AFP Jumaat.

Projek bernilai AS$36 bilion itu adalah jalan pintas antara dua bandar pelabuhan utara di rantau yang terdedah dengan gempa bumi.

Skim itu akan menyaksikan kereta dimuatkan ke gerabak kereta api sebelum perjalanan sejauh 220 kilometer sejam (136 batu sejam) di sepanjang terowong 123 kilometer yang menghubungkan Dalian di wilayah Liaoning dan Yantai di wilayah Shandong.

"Terowong bawah air dijangka siap dalam tempoh rancangan lima tahun ke-13 (2016 hingga 2020)," kata Wang Mengshu, pakar terowong dan kereta api di Chinese Academy of Engineering.

"Kosnya dijangka sekitar 220 bilion yuan dan ia akan menjadi terowong air yang terpanjang di dunia," tambah Wang, yang telah bekerja untuk rancangan itu sejak 2012.

Satu rangka tindakan untuk projek raksasa itu dijangka dikemukakan kepada pihak berkuasa Majlis Negeri pada bulan April, menurut laporan China Daily, Jumaat.

Wang memberitahu akhbar itu bahawa masa perjalanan akan dijimatkan kepada 40 minit selepas terowong siap, yang melalui pinggir pantai di sebelah barat Yantai, sebelum merubah arah ke utara merentasi Laut Bohai.

Terowong ini akan mengatasi kepanjangan gabungan dua terowong terpanjang di dunia, iaitu terowong Seikan di Jepun yang menghubungkan Honshu dan Hokkaido dan terowong Channel antara Britain dan Perancis.

Ia secara drastik akan mengurangkan masa perjalanan semasa antara kedua-dua bandar-bandar, yang kini dengan jarak 1,400 km untuk pemanduan atau kira-kira lapan jam dengan feri.

Tiga terowong keseluruhannya akan dibina sekurang-kurangnya 30 meter di bawah laut, dua daripadanya kira-kira 10 meter pada garis pusat, dan satu lagi di antaranya untuk kerja penyelenggaraan dan kenderaan kecemasan, tambah China Daily.

Pegawai-pegawai yang terlibat dengan projek itu telah mengenal pasti keselamatan sebagai 'kebimbangan paling atas', kata akhbar itu.

Artikel Berikut

Artikel Lain