BANGKOK: Dua maut manakala 60 lagi cedera dalam pertempuran antara penunjuk perasaan anti kerajaan dengan anggota keselamatan di ibu negara ini pada Selasa.Menurut pusat kecemasan Erawan, seorang anggota polis ditembak mati manakala seorang orang awam maut selepas mengalami kecederaan di kepala. L/Koperal polis Pongsakorn Saengkrom dari wilayah Chonburi mati di tempat kejadian dalam insiden pada pukul 1.30 itu.Bunyi tembakan dan letupan kedengaran selepas polis melancarkan operasi untuk mendapatkan semula kawasan-kawasan protes yang diduduki para penunjuk perasaan sejak lebih tiga bulan lepas.Para penunjuk perasaan berkampung di kawasan berdekatan Rumah Kerajaan itu bagi menuntut Perdana Menteri Yingluck Shinawatra supaya meletak jawatan.Pada petang Selasa, anggota polis rusuhan telah berundur dari kawasan jambatan Phanphah Lilart, tempat perhimpunan dengan seorang daripada pemimpin penunjuk perasaan, Somkiet Phongphaiboon yang ditahan sebelum ini telah 'diselamatkan' penunjuk perasaan.Pada awal pagi Selasa, polis menghadapi tentangan hebat daripada penunjuk perasaan apabila polis cuba mengusir mereka dari beberapa tempat perhimpunan di bandar raya ini.Di persimpangan Miksakawan, berhampiran Rumah Kerajaan di mana letaknya pejabat perdana menteri, tindakan polis untuk mengusir penunjuk perasaan turut berdepan tentangan hebat penunjuk perasaan.Pada pukul 2.30 petang, polis berudur dari persimpangan dan penunjuk perasaan kembali ke kedudukan mereka di sekitar Rumah Kerajaan selepas beberapa rundingan di antara kedua-dua pihak.Kira-kira 25,000 anggota polis digerakkan dalam operasi untuk menyuraikan penunjuk perasaan di beberapa lokasi dengan menggunakan gas pemedih mata dan peluru getah.Beberapa laporan berkata senjata api digunakan namun tidak menunjukkan pihak mana yang terlibat.