KIEV: Presiden sementara Ukraine menegaskan yang mereka tidak berhasrat untuk mengisytiharkan perang ke atas Rusia berhubung apa yang sedang berlaku di semenanjung Crimea sekarang. Sebaliknya, mereka akan berusaha menggunakan tekanan antarabangsa dan politik khususnya Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama untuk menyekat pengaruh Rusia ke atas situasi politik di Crimea. Parlimen wilayah autonomi Crimea pada Ahad telah mengundi untuk keluar dari Ukraine dan menjadi sebuah republik yang merdeka dan bebas tetapi pro-Rusia. Walaupun Crimea adalah sebahagian dari Ukraine tetapi majoriti penduduknya adalah dari etnik Rusia kerana wilayah itu asalnya adalah milik Rusia yang dihadiahkan kepada Ukraine pada tahun 1954 selepas Ukraine bersedia menjadi sebahagian dari empayar Kesatuan Soviet. Krisis di Ukraine telah mencetuskan satu konflik baru di Crimea yang pro-Rusia berbanding kerajaan pusat yang pro-barat. Obama dijangka bertemu Perdana Menteri Interim Ukraine, Arseniy Yatsenyuk tidak lama lagi untuk mencari jalan bagi menyelesaikan konflik baru di semenanjung itu. Sementara itu, Presiden Interim, Oleksandr Turchynov berkata, mereka tidak akan cuba untuk menawan balik semenanjung Crimea dari tangan etnik Rusia yang kini menguasai keseluruhan pejabat kerajaan dan berek tentera di situ kerana saiz angkatan tentera Ukraine yang kecil berbanding Rusia. Pada 22 Februari lalu, Kerajaan Presiden Ukraine Viktor Yanukovych yang pro-Rusia ditumbangkan oleh gerakan rakyat yang mahu negara itu berpaling ke arah Kesatuan Eropah dan berhenti bergantung hidup kepada Rusia. "Kita kita melancarkan operasi ketenteraan di Crimea, ia samalah seperti membuka pintu Ukraine kepada pencerobohan asing dan Ukraine tidak akan mampu melindungi dirinya daripada ancaman itu," kata Turchynov dalam satu temuramah dengan agensi beritaAFP. Turchynov memberitahu, Presiden Rusia, Vladimir Putin setakat ini menepis segala tekanan antarabangsa dalam isu Crimea dan enggan berkomunikasi dengan kerajaan pusat Ukraine. Rusia katanya seolah-olah memberi isyarat yang ia menolak semua penyelesaian diplomatik dalam isu di Ukraine. Bagaimanapun sejak kes ini muncul Rusia mengambil pendirian menafikan penglibatan mereka dalam krisis yang berlaku di Crimea.