suria

Jerebu: 124 Pelajar Malaysia Di Pekan Baru Dipindahkan Ke Medan

Keadaan jerebu di Pekan Baru, Indonesia. -foto EPA
JAKARTA: Sejumlah 124 pelajar Malaysia yang menuntut di Universitas Islam Negeri Syarif Kasim, Pekan Baru dipindahkan ke Medan pagi ini berikutan keadaan jerebu yang semakin buruk di kawasan berkenaan.

Pengarah Education Malaysia Indonesia Prof Madya Dr Juzhar Jusoh berkata kesemua pelajar berkenaan dan seorang bayi dipindahkan dengan menaiki bas dan akan ditempatkan di Asrama Haji di Medan.

"Education Malaysia telah berhubung dengan Konsulat Medan dan Konsulat Pekan Baru bagi membincangkan proses evakuasi pelajar Pekan Baru. Pelajar berkenaan akan berada di Medan sehingga keadaan di Pekan Baru selamat," katanya di sini, Sabtu. 

Pada masa ini, seramai 160 pelajar Malaysia menuntut di universiti berkenaan. Sebanyak 36 pelajar sudah pun berada di Malaysia.

Selain Pekan Baru, keadaan di Jambi dan Padang juga dilaporkan semakin terjejas akibat masalah jerebu.

Namun, keadaan di Pekan Baru dilaporkan paling teruk dengan keadaan udara makin tidak selamat untuk masyarakat dan jarak penglihatan dilaporkan kurang 200 meter. 

Menurut bacaan Indeks Standard Pencemaran Udara (ISPU) yang dikeluarkan Kementerian Lingkungan Hidup Indonesia, bacaan terkini berada pada paras 330, iaitu bahaya serta diisytiharkan sebagai darurat oleh pihak berkuasa tempatan. 

Lapangan terbang di Pekan Baru dan kebanyakan sekolah dan universiti juga ditutup. 

Mengulas lanjut, Juzhar berkata Education Malaysia sudah berurusan dengan pihak universiti itu supaya memberi cuti kepada pelajar berkenaan.

"Pihak kami (Education Malaysia) membuat persediaan awal untuk melaksanakan proses evakuasi dengan penyediaan pengangkutan, penginapan dan makan minum pelajar semasa di Medan nanti," katanya. 

Dalam pada itu, Juzhar berkata prosedur operasi standard (SOP) bencana masih diaktifkan oleh semua pelajar Malaysia di Jambi, Pekan Baru dan Padang. 

"Sehingga kini, semua pelajar berada dalam keadaan berjaga-jaga dan mengurangkan aktiviti di luar bagi mengelak masalah kesihatan. 

"Topeng penapis udara dan ubat titis mata yang dihantar Education Malaysia sebelum ini juga sudah digunakan sepenuhnya dan memerlukan penambahan untuk diagihkan kepada pelajar di Pekan Baru, Padang dan Jambi jika keadaan semakin teruk," katanya.

Beliau berkata Education Malaysia akan terus memantau keadaan di tempat-tempat berkenaan dan situasi itu sudah dimaklumkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) Pekan Baru, Juanda Porigi berkata 11 pelajar terpaksa mendapatkan rawatan di hospital akibat masalah pernafasan berikutan masalah jerebu itu. 

Artikel Lain