suria

Geng Rogol Mumbai Dipenjara Seumur Hidup

Anggota polis mengawasi salah seorang daripada ahli 'Geng Rogol Mumbai' untuk dibawa ke mahkamah dari penjara. Mahkamah Sesyen Mumbai menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas tiga ahli kumpulan itu yang merogol seorang jurugambar dan operator telefon pada Julai dan Ogos lalu. -foto AP
MUMBAI: Mahkamah Sesyen Mumbai pada Jumaat telah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas tiga orang lelaki yang didapati bersalah merogol seorang jurugambar dan operator telefon di sebuah kilang yang ditinggalkan di sini Julai dan Ogos tahun lalu.

Ketiga-tiga mereka - Mohammed Salim Ansari, Vijay Mohan Jadhav dan Mohammed Kasim Hafeez Shaikh dikenali sebagai 'Geng rogol Mumbai' dan kes yang melibatkan mereka telah mendapat perhatian dunia yang mempersoalkan tentang keselamatan kaum wanita di negara ini.

"Mahkamah ini harus mengambil kira kepentingan ramai dan jenis jenayah yang mereka lakukan ke atas wanita agar satu mesej yang jelas dapat dihantar kepada masyarakat betapa kita dan seluruh dunia mengutuk perbuatan terkeji ini," kata hakim Shalini Phansalkar Joshi ketika membacakan hukuman yang telah dikenakan ke atas tertuduh.

Kata hakim itu, hukuman yang dijatuhkan hari ini (Jumaat) hanyalah berkait dengan kes rogol ke atas operator telefon.

Untuk kes rogol ke atas seorang jurugambar, keputusan akan dibacakan Isnin ini.

Ketiga-tiga tertuduh yang dikawal ketat oleh anggota-anggota polis hanya menundukkan kepala sambil menyapu air mata ketika hukuman dibacakan kepada mereka.

Tertuduh keempat, Mohammed Ashwaq Sheikh, juga turut dihukum penjara seumur hidup manakala seorang lagi yang dituduh merogol jurugambar, Siraj Rehmat Khan, akan mengetahui nasibnya, Isnin.

Kelima-lima mereka berusia antara 18 hingga 27 tahun ketika ditahan dan suspek juvenil dibicarakan berasingan.

Kes ini terbongkar apabila operator telefon membuat keputusan untuk tampil ke hadapan selepas membaca kisah jurugambar yang dirogol di tempat yang sama dengannya.

Mumbai, India

Artikel Lain