SEOUL: Seorang taikun Korea Selatan yang juga bekas pemilik konglomerat pembinaan Kumpulan Daejoo, Huh Jae-Ho, yang melarikan diri selama empat tahun ke luar negara selepas didapati bersalah kerana mengelak cukai telah diarah membayar denda berjumlah AS$23 juta sebaik sahaja dia kembali ke negara asalnya semula. Pada 2011, Mahkamah Agung di sini telah mencetuskan kemarahan orang ramai apabila ia hanya menghukum Jae-Ho, 71, penjara dengan kerja-kerja tertentu dan tidak diarahkan membayar 25.4 bilion won (AS$23 juta) yang dia hutang kepada negara setelah didapati bersalah mengelapkan wang dan mengelak daripada membayar cukai. Pihak media membidas keputusan itu sebagai hukuman tipikal yang dijatuhkan ke atas mana-mana hartawan di negara itu - satu hukuman yang dianggap ringan berbanding kesalahan yang telah mereka lakukan. Tetapi pada Rabu, pejabat Pendakwa Raya memberitahu bahawa Jae-Ho, yang baru sahaja pulang secara sukarela ke negara asalnya setelah melarikan diri selama empat tahun ke luar negara akan dibebaskan dari penjara tidak lama lagi dan diarahkan membayar denda yang sepatutnya beliau bayar kepada kantung negara itu. Ketika kemuncaknya, Jae-Ho menerajui Daejoo, firma pembinaan terbesar Korea dengan 15 anak syarikat di bawahnya. Daejoo bagaimanapun lingkup pada tahun 2010 apabila cabang pembinaannya jatuh bankrap ekoran kelembapan industri hartanah di Korea. Jae-Ho kemudiannya didakwa cuba melarikan diri daripada cukai dan didapati bersalah serta dikenakan hukuman penjara yang ditangguhkan dengan diberi pilihan sama ada membayar denda kepada kerajaan atau menjalani hukuman bekerja di penjara. Tetapi taikun itu kemudiannya melarikan diri ke New Zealand untuk mengelak hukuman tersebut. Pada Sabtu lalu, dia telah dibawa ke Penjara Gwangju sebaik sahaja menjejakkan kakinya di Korea semula. Dalam tempoh yang singkat itu, dia telah bekerja lapan jam sehari termasuklah membuat bag kertas untuk pasar raya, tofu dan juga membuat perabot. Usahawan dan taikun Korea Selatan sering kali terlepas daripada hukuman berat di atas kesalahan yang mereka lakukan dengan alasan mahkamah turut mengambil kira sumbangan mereka kepada pembangunan ekonomi negara.