suria

Nostalgia Ke Atas Era Suharto Kini Kembali Tapi Apakah Ia Cerminan Seluruh Indonesia

Potret Suharto dengan kata-kata dalam bahasa Jawa yang bermaksud; "Apa khabar saudara? Masih bagus di zaman saya, tidak begitu?"

JAKARTA: Percaya atau tidak atau sama ada fenomena ini dirancang atau datang dengan sendirinya tetapi kini nostalgia ke atas era pemerintahan Presiden Suharto dikatakan telah melanda Indonesia di saat negara itu akan mengadakan pilihan raya presiden Julai nanti.

Wajah dan potret Suharto boleh dilihat terpampang di merata-rata sama ada di belakang trak, belakang bas dan di atas baju-t tetapi wajahnya dengan senyuman manis berada di mana-mana.

Aneh kerana imej Suharto tiba-tiba telah kembali selepas 16 tahun kejatuhannya.

Suharto memerintah secara kuku besi selama 30 tahun tanpa gangguan malah wajahnya terpampang di atas wang kertas negara itu ketika beliau masih hidup.

Namun kini terdapat poster dan bahan cetak yang mempersoalkan apakah warga Indonesia hidup senang dan aman di bawah pemerintahan bekas jeneral itu atau lebih menderita di bawah demokrasi.

Indonesia akan memilih parti mana yang akan mewakili mereka di Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) bulan hadapan dan kemudian melalui satu lagi proses pemilihan iaitu memilih presiden Julai nanti.

Angin pilihan raya ini telah mencetuskan nostalgia untuk kembali sepertima era Suharto dahulu iaitu hidup di bawah demokrasi yang terpimpin yang digelar "Order Baru" tetapi menikmati kehidupan yang lebih stabil, senang dan aman.

Parti yang pernah dipimpin Soharto iaitu Golkar, masih berpengaruh dan mendapat tempat di wilayah-wilayah tertentu khususnya di tempat kelahirannya Kemusuk, di tengah-tengah Pulau Jawa.

Golkar merupakan parti kedua terbesar dalam parlimen dan membentuk pakatan dalam kerajaan pimpinan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono yang memerintah sekarang.

Suharto yang berasal dari etnik Jawa nampaknya tidak lenyap sepenuhnya dari minda masyarakat walaupun pemerintahannya pernah dilihat zalim terhadap musuh-musuh politik termasuk tiada kebebasan media dan menulis.

Kepada orang kebanyakan yang hanya mahu mencari rezeki, mereka menyukainya kerana kata mereka apabila tercetusnya tentangan yang membawa kepada kekacauan dan krisis, beliau tidak menunggu lama tetapi menghalangnya dari terus merebak.

"Semua orang hidup dalam aman, tidak ada demo sepertimana hari ini yang akhirnya membawa kepada kejatuhan ekonomi dan gangguan kepada kehidupan seharian," kata Sumarah, 46, yang merujuk kepada demonstrasi yang berlaku boleh dikatakan setiap hari.

Suharto menjadi presiden pada tahun 1967 apabila ketika itu beliau yang menyandang jawatan jeneral tentera, mengambil alih kuasa dari tangan presiden pertama Suharto ekoran percubaan merampas kuasa yang didakwa dilakukan oleh puak komunis.

Sepanjang pemerintahannya, beliau telah dituduh mengelapkan wang negara, menaikkan anak dan menantunya dalam parti dan juga kerajaan, menggunakan kekuatan tentera untuk melakukan opresi ke atas mereka yang tidak disukainya, termasuk mengawal penerbitan akhbar, majalah dan buku tetapi pada masa yang sama beliau turut diberi kredit kerana berjaya membawa keamanan yang berpanjangan di Indonesia termasuklah memacu ekonomi negara itu ke arah sektor perindustrian dan teknologi tinggi.

Sentimen & Kempen Secara Halus

Kini jika anda bersiar-siar di bandar diraja Yogyakarta, anda akan dapati kemeja-t yang dijual di tepi-tepi jalan tertera potret Suharto dengan kata-kata seperti "Tidakkah kalian merindui era yang telah berlalu yang mana negara ini mempunyai makanan yang mencukupi dan jaminan keselamatan?"

Sentimen ini muncul di tengah-tengah perasaan tidak senang dengan kadar inflasi yang tinggi dan kadar jenayah yang semakin naik dan begitu ramai anak muda yang bersaing untuk memperolehi pekerjaan tetap yang semakin menguncup dalam sebuah negara yang mempunyai 250 juta penduduk.

Boleh dikatakan, kini, setiap hujung minggu, tidak kurang dari 2,000 orang akan datang menziarahi makam Suharto dan isterinya di bandar Solo, di mana mereka disemadikan selain kunjungan ke memorial mereka di Kemusuk, di mana ucapannya dimainkan dan disiarkan menerusi corong speaker.

Di Kemusuk, terdapat juga muzium yang dipenuhi dengan mementonya dan fotonya.

Suharto menghabiskan saki baki kehidupannya di Kemusuk dan juga Solo sehinggalah meninggal dunia pada 2008 pada usia 86 tahun.

Tahun ini, calon presiden dari Parti Golkar yang merupakan singkatan kepada nama 'Golongan Karyawan' (NOTA: karyawan bermaksud pekerja dalam bahasa Indonesia) ialah Aburizal Bakrie.

Aburizal dalam temuramah dengan akhbar Jakarta Post baru-baru ini dipetik sebagai berkata; "Golongan elit boleh mengkritik atau berkata apa saja tentang Order Baru, tetapi rakyat kebanyakan rata-rata mahu kembali kepada era itu."

Dan antara Golkar dengan keluarga Suharto adalah saling pengaruh mempengaruhi. Mereka akan meletakkan anak perempuan Suharto, Siti Hediati pada pemilihan parlimen 9 April depan. 

Tetapi tidak semua sanggup menerima era Suharto dikembalikan di Indonesia.

Agung Kurniawan, seorang ahli seni yang berpusat di Yogyakarta berkata, dia akan menentang sesiapa jua dari keluarga bekas presiden itu daripada kembali ke puncak kuasa.

Mereka katanya bersedia kembali ke jalan raya untuk memprotes sepertimana yang pernah mereka lakukan pada tahun 1998 yang akhirnya membawa kepada kejatuhan regim Suharto.

Di sebalik nostalgia itu semua, Golkar dan saki baki pendokong Suharto akan mendapati mereka sedang berhadapan dengan calon jawatan presiden yang lebih popular dan disukai ramai yang tiada kaitan sama ada secara pertalian keluarga atau pengaruh dengan regim Order Baru.

Calon itu ialah Gabenor Jakarta, Joko Widodo yang sangat popular dan disukai ramai serta bersih daripada sebarang korupsi.

Populariti Joko itu adalah petanda bahawa majoriti rakyat Indonesia lebih cenderung untuk melihat ke hadapan, melangkaui apa jua saki baki nostalgia yang masih ada pada Suharto dan eranya.

Artikel Lain