suria

Pilihan Raya Indonesia: Susilo Secara Terbuka Sokong Gabenor Jakarta

Calon Presiden Indonesia, Joko Widodo yang juga Gabenor Jakarta

JAKARTA: Buat pertama kalinya, Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono membuat pernyataan mengenai seorang daripada calon presiden yang berpotensi menggantinya - Joko Widodo atau Jokowi - dengan memberi nasihat kepada Gabenor Jakarta itu bagaimana menyakinkan pengundi bahawa beliau cukup kompeten untuk mentadbir negara.

Dalam kenyataan itu yang disiarkan di YouTube pada Ahad, Susilo yang tempoh kepimpinannya berakhir Oktober ini, mencadangkan agar Jokowi mengemukakan butiran rancangannya dalam memimpin Indonesia, bagi mengurangkan keraguan rakyat terhadap kecekapannya.

Pada masa sama, Susilo juga menggesa rakyat supaya memberi peluang kepada Jokowi untuk membuktikan keupayaan dan kecekapan beliau jika dipilih sebagai presiden Indonesia.

"Saya rasa adalah lebih baik jika orang tidak menilai beliau (Jokowi) terlalu cepat kerana tidak mampu (mentadbir Indonesia)," kata Presiden Indonesia itu.

"Pada masa sama, Pak Jokowi hendaklah mengemukakan buah fikiran, penyelesaian atau dasar yang akan dilaksanakan untuk menyelesaikan masalah-masalah kompleks yang dihadapi oleh negara ini.

"Dengan memberi maklumat mengenai program yang bakal dilaksanakan dan bersedia untuk berbincang, orang boleh menilai kualiti Pak Jokowi dan calon presiden lain dan kemudian mereka boleh membuat keputusan orang yang tepat untuk menjadi pengganti saya," kata Susilo.

Mengenai dakwaan beberapa pihak bahawa Jokowi adalah boneka semata-mata yang dikawal oleh kepimpinan Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), beliau berkata Jokowi perlu membuktikan sebaliknya tuduhan tersebut.

"Ia akan menjadi satu cabaran bagi Pak Jokowi atau sesiapa yang dilantik sebagai presiden akan datang untuk tidak membenarkan dirinya ditentukan oleh sesiapa sahaja sama ada pelabur atau entiti asing.

"Saya tidak pernah membenarkan sesiapa sahaja untuk mengganggu apa yang telah saya lakukan selama 10 tahun saya memimpin negara ini," kata Susilo.

Presiden Indonesia itu berkata Jokowi hanya perlu tunduk kepada kehendak rakyat negara itu.

"Tiada siapa yang boleh mengawal dan menentukan presiden dalam membuat keputusan mengenai hal ehwal dalaman dan luar. Ini satu cabaran dan saya berharap pengganti saya akan mendengar dengan teliti kehendak rakyat," katanya.

Pemilihan Umum (Pemilu) parlimen Indonesia akan berlangsung pada 9 April, manakala pilihan raya Presiden pada 9 Julai.


Artikel Lain