JAKARTA: Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) dan parti Golkar akan bersaing dalam Pemilihan Umum (Pemilu) Presiden pada 9 Julai ini, setelah kedua-dua parti itu gagal mencapai kesepakatan bagi membentuk kerjasama politik. Pertemuan antara bakal calon presiden PDI-P, Joko Widodo atau Jokowi dan Ketua Umum Parti Golkar, Aburizal Bakrie yang juga berhasrat merebut jawatan berkenaan, gagal mencapai pakatan menjelang pemilihan kerusi presiden Indonesia. "Setelah pemilihan presiden, kami akan bertemu lagi untuk bekerjasama di Parlimen. Kita sudah secara terbuka berbicara mengenai itu," kata Jokowi kepada wartawan selepas mengadakan pertemuan dengan Aburizal di pejabat parti Golkar di sini, Sabtu. Jokowi berkata dalam pertemuan itu, parti Golkar dan PDI-P bersetuju untuk saling mengemukakan calon presiden masing-masing iaitu PDI-P mencalonkan beliau manakala Golkar menamakan Aburizal. Sebelum bertemu Aburizal, Jokowi bertemu Ketua Umum Parti Nasdem, Surya Paloh yang memberikan sokongan partinya terhadap pencalonan Jokowi sebagai bakal calon presiden. Sementara itu, Aburizal berkata kedua-dua parti berkenaan bersetuju untuk bekerjasama di Parlimen dalam usaha membangunkan Indonesia yang lebih baik. Kiraan awal oleh sejumlah badan kaji selidik mendapati tidak ada parti politik yang akan memperoleh undi sehingga 20 peratus untuk memenuhi syarat mengemukakan calon presiden. Justeru itu, parti-parti politik yang bertanding terpaksa membentuk pakatan bagi menamakan calon presiden. Dalam undian awal kalangan 12 parti nasional yang bertanding pada Pemilu Parlimen 9 April lepas, PDI-P berada pada kedudukan teratas selepas memperoleh 19.77 peratus undi, diikuti Golkar (14.61) dan Gerakan Indonesia Raya (Gerindra-11.80) manakala parti pemerintah, Demokrat di tempat keempat dengan 9.73 peratus. Aburizal berkata sesiapapun presiden yang dipilih, Golkar akan menyokong kebijaksanaan strateginya dalam pembangunan Indonesia. "Sesiapapun presidennya, kita tetap bersahabat. Itu yang kami bincangkan dalam perbahasan tadi antara PDI-P dan Golkar," katanya.