suria

Gempa Bumi 7.6 Magnitud Gegar Kepulauan Solomon

Satu imej yang dikeluarkan oleh Pusat Kajian Geologikal Amerika Syarikat (USGS), menunjukkan peta gegaran di lokasi dan tahap gempa bumi dekat pantai Kepulauan Solomon. Foto EPA

HONIARA: Satu gempa bumi kuat berukuran 7.6 magnitud menggegarkan Kepulauan Solomon pada Ahad, mengakibatkan ombak besar menghempas pantai di kepulauan itu namun tiada kerosakan dilaporkan.

Gegaran yang berlaku pada pukul 7.14 pagi waktu tempatan itu mengejutkan para penduduk di bandar Honiora di Kepulauan Solomon, kira-kira 300 kilometer dari pusat gempa, diikuti dengan gegaran kedua berukuran 5.9 magnitud 10 minit selepas itu.

Pusat Kajian Geologikal Amerika Syarikat (AS) membuat perkiraan gegaran dasar laut pada kedalaman kira-kira 29 kilometer, dengan mengeluarkan "amaran hijau" yang menunjukkan tahap kemungkinan kematian dan kerosakan adalah rendah.

Penduduk Honiara, Dorothy Wickham berkata, Majlis Bencana Kebangsaan telah memberi amaran kepada orang ramai untuk menjauhkan dari kawasan rendah di kepulauan itu yang dilanda ombak besar.

"Orang ramai menjauhkan diri dari kawasan pantai dan berpindah ke kawasan bukit, tetapi saya tidak mendengar sebarang kerosakan," katanya.

Suruhanjaya Oseanografi Antara Kerajaan pada awalnya meletakkan amaran tsunami untuk Kepulauan Solomon, Vanuatu dan Papuan New Guinea, tetapi telah pun membatalkan amaran itu.

Satu amaran mengenai kemungkinan tsunami akan melanda New Zealand, kira-kira 3,400 ke barat daya, turut dikeluarkan.

Kepulauan Solomon dilanda banjir kilat 10 hari lalu yang mengakibatkan 10 kematian, dan ramai lagi yang masih hilang dalam kejadian itu di Honiara. - AFP

Artikel Sebelum

Artikel Lain