JAKARTA: Sembilan maut manakala yang lain dimasukkan ke hospital di Jawa Timur selepas minum 'oplosan', sejenis arak buatan tempatan, awal minggu ini. Ketua Polis Malang Adi Deriyan Jayamarta berkata lebih 20 orang menghadiri dua jamuan pada Isnin, yang menyajikan oplosan. Sejumlah 14 orang menghadiri jamuan di Jalan Sumberwaras, Kalirejo manakala sembilan lagi di Kampung Sidodadi, kedua-duanya terletak dalam daerah kecil Lawang di Malang. "Setakat hari ini, sembilan orang maut. Lima mati di Sumberwaras dan empat lagi di Kampung Sidodadi," Adi dipetik oleh akhbar harian tempatan Jakarta Globe, sebagai berkata pada Sabtu. Beliau berkata pengunjung majlis itu dimasukkan ke tiga hospital di Malang iaitu Hospital Besar Dr Saiful Anwar, Hospital Wilayah Lawang dan Hospital Panti Nirmala. "Tiga daripada mereka kritikal dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi," katanya. Adi berkata polis kini menyiasat bahan-bahan yang digunakan untuk menyediakan koktel yang diminum dari 9 pagi hingga 11 malam pada Isnin. Beliau berkata polis tidak dapat menjalankan bedah siasat ke atas beberapa mangsa kerana mayat mereka sudah dikebumi oleh keluarga masing-masing. "Bagi menentukan punca kematian, polis mengambil sampel darah dan air kencing daripada seorang mangsa yang dirawat di Hospital Besar Dr Saiful Anwar di Malang. "Kami mengesyaki mereka mendapat keracunan alkohol namun belum dapat mengesahkan sama ada ia disebabkan oleh metanol atau etanol," katanya.