SYDNEY: Seorang lelaki telah disabitkan kesalahan dengan 24 tuduhan memiliki produk haiwan liar secara haram, termasuk tengkorak orang utan dan harimau berikutan rampasan terbesar dalam sejarah Australia, Jumaat. John Kolettas,44, mengaku bersalah selepas polis menyerbu rumahnya di Sydney tahun lalu dan mendapati 78 produk haram yang dibuat daripada 24 spesis terancam. Ia termasuk 11 tengkorak orang utan dan 25 tengkorak lain monyet, lynx , beruang dan harimau. Rampasan lain termasuk gigi dan kulit orang utan, lynx , memerang, dan perhiasan kepala yang diperbuat daripada bulu 'bird of paradise'. Kolettas dipenjara selama setahun, didenda Aus$ 4,000 (AS $3,700) dan diperintahkan untuk melakukan 384 jam khidmat masyarakat kerana memiliki spesimen yang disenaraikan di bawah Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Fauna dan Flora Terancam (CITES). "Pengedaran hidupan liar adalah perdagangan kejam dan sering tidak bertamadun yang telah menjadi lebih meluas dan menguntungkan dan kini bernilai berbilion-bilion dolar di seluruh dunia," jelas jurucakap Jabatan Alam Sekitar. "Masyarakat, terutamanya pengumpul, pelancong dan pembeli dalam talian harus sedar apa yang mereka beli, diperbuat daripada apa dan asal usul barang itu. "Tanpa disedari mereka boleh menyumbang kepada kemerosotan spesies terancam, hanya dengan membeli yang pada mulanya kelihatan seperti untuk suka-suka. "Australia adalah salah satu daripada 178 negara di bawah CITES, yang tidak membenarkan pengimportan spesies terancam, atau bahagian-bahagian daripada itu adalah haram tanpa permit.