BANGKOK: Negara anggota Asean terus mengikuti dengan teliti perkembangan di Thailand dan menyokong penuh penyelesaian aman konflik negara itu menerusi dialog dan pematuhan prinsip demokrasi dan keluhuran undang-undang. Menteri-menteri Luar Asean dalam kenyataan bersama menyatakan negara-negara berkenaan mengesahkan kenyataan pemimpin blok itu mengenai perkembangan di Thailand yang dikeluarkan di Tokyo pada 14 Dis 14, 2013. Menteri-menteri berkenaan juga menekankan pentingnya proses demokratik bagi memulihkan keamanan dan ketenteraman, memupuk perdamaian nasional dan mengembalikan keadaan seperti sedia kala di Thailand, yang selaras dengan hasrat dan kepentingan rakyat Thailand. Negara anggota Asean menlahirkan keyakinan terhadap keupayaan Thailang untuk bertahan bagi mengatasi kesukaran sekarang dan bersedia memberikan sokongan yang perlu berdasarkan prinsip dalam Piagamnya. Sementara itu, konflik yang berterusan menyaksikan beberapa insiden keganasan sejak bekas perdana menteri Yingluck Shinawatra dilucutkan jawatan oleh Mahkamah Perlembagaan minggu lalu. Penyokong prokerajaan atau Baju Merah dan penyokong Jawatankuasa Reformasi Demokratuik Rakyat yang antikerajaan telah mengadakan perhimpunan secara besar-besaran. Pada malam Ahad, seorang lelaki berusia 52 tahun dan seorang wanita berumur 58 tahun cedera selepas dua butir bom M79 ditembak ke arah kawasan protes antikerajaan di Rumah Kerajaan. Penunjuk perasaan antikerajaan juga berkhemah berdekatan Rumah Kerajaan, yang menempatkan pejabat Perdana Menteri. Pemimpin kumpulan antikerajaan Suthep Thuagsuban merancang untuk memindahkan lokasi kawasan protes mereka dari Lumpini Park ke kawasan berdekatan Rumah Kerajaan pada Isnin.