Kata putus antara semua pihak terbabit itu dicapai hasil persetujuan dramatik yang diatur Qatar.
Sarjan Tentera Darat AS, Bowe Bergdahl, 28, dilaporan berada dalam keadaan baik selepas pejuang Taliban menyerahkannya kepada pihak keselamatan AS.
Pembebasan Bergdahl disambut anggota pasukan operasi khas AS menggunakan helikopter di lokasi yang dirahsiakan.
“Bergdahl terlepas majlis hari jadi, cuti dan saat bersama keluarga dan rakan yang kita semua anggap sebagai perkara biasa," kata Presiden Barack Obama di White House Rose Garden.
Turut hadir pada pengumuman penting dan bersejarah itu adalah ibu bapa anggota tentera berkenaan, Bob dan Jani.
“Tetapi semasa Bowe tiada, beliau tidak dilupakan," kata Obama lagi.
Obama menyatakan penghargaan kepada Emit Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al-Thani, dan kerajaan di Kabul kerana membantu membawa pulang satu-satunya warga AS yang ditahan Taliban dalam perang selama 13 tahun itu.
Usaha sebelum ini untuk pembebasan Bergdahl menerusi pertukaran dengan Taliban gagal tetapi kali ini Qatar berjaya mendapatkan persetujuan.
Obama mengesahkan sebagai usaha membawa pulang askar berkenaan ke AS, kerajaan sudah memindahkan lima tahanan Afghanistan di Guantanamo ke Qatar.