Protes kecil dan semakin kreatif ini diadakan sejak tentera merampas kuasa daripada kerajaan pada 22 Mei.
Penunjuk perasaan telah menggunakan tabik tiga jari dari filem Hunger Games sebagai simbol tidak rasmi penentangan terhadap rejim tentera.
Lebih daripada 6,500 anggota polis dan tentera telah dikerahkan di beberapa tempat di seluruh bandar.
Sesetengah daripada mereka membuat tabik tiga jari sementara yang lain meletakkan tangan mereka di mulut.
Mereka kemudian berjalan menuju pusat beli-belah sebelum diekori oleh beberapa pegawai polis berpakaian biasa, menurut seorang wartawan AFP.
"Terdapat hanya satu kumpulan protes di Siam (pusat beli-belah). Kami mengambil gambar lima orang yang mengambil bahagian, mengekori mereka dan kemudian menahan mereka," kata timbalan ketua polis negara Somyot Poompanmoung, sambil menambah mereka telah diserahkan kepada tentera.
Beliau berkata dua yang lain yang dirakamkan gambar mereka di perhimpunan sebelum ini ditemui polis di luar pusat beli-belah dan ditangkap.
Terdapat laporan yang belum disahkan bahawa flashmobs lain turut diadakan di seluruh bandar.
Perhimpunan politik lebih daripada lima orang telah diharamkan di bawah undang-undang tentera yang diisytiharkan oleh Panglima Tentera Darat Prayut dua hari sebelum merampas kuasa tiga minggu lalu.