KARACHI: Angka korban akibat serangan anggota militan di Lapangan Terbang Jinnah yang sentiasa dipenuhi orang awam di selatan bandaraya ini meningkat kepada 21 orang. Bagaimanapun, 10 daripada yang maut membabitkan penyerang, manakala 11 lagi adakag anggota pasukan keselamatan dan dua orang awam. Dalam serangan yang berlarutan selama lebih enam jam malam Ahad itu, anggota tentera terpaksa bertempur dengan militan yang memulakan serangan. Situasi di kawasan sekitarnya bagaimanapun kembali terkawal hanya menjelang subuh. Dalam kejadian itu, letupan dan tembakan berlarutan membabitkan penyerang yang berpakaian lengkap ala tentera. "Perkembangan terkini: Kawasan berjaya dikosongkan. Tiada kerosakan pada kapal terbang, api yang kelihatan dalam gambar tidak melibatkan pesawat sebaliknya bangunan, telah berjaya dipadamkan. Aset utama kekal," kata jurucakap tentera, Mejar Jeneral Asim Bajwa. Serangan tersebut mengakibatkan penutupan Lapangan Terbang Jinnah, namun Bajwa berkata, ia akan dibuka semula dalam masa beberapa jam lagi. Belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab terhadap serangan tersebut, namun ia berlaku susulan rundingan antara Pakistan dan anggota Taliban yang berlangsung awal tahun ini. "Salah seorang daripada mereka meletupkan diri mereka setelah terkena tembakan," pegawai itu berkata menunjukkan yang mereka mengenakan jaket pengebom berani mati. Penyerang dilihat memasuki lapangan terbang dari dua bahagian sekitar pukul 11 malam (waktu Pakistan) pada Ahad, iaitu di terminal haji dan bahagian kejuruteraan berdekatan dengan terminal lama yang sudah tidak digunakan lagi.