suria

Lelaki Tertua Di Dunia Meninggal Dunia

Imich, bekas profesor yang meninggal dunia pada usia 111 tahun.
NEW YORK: Lelaki paling tua di dunia, Alexander Imich meninggal dunia pada usia 111 tahun di kediamannya di Upper West Side Manhattan di sini, Isnin.

Imich yang dilahrikan di Poland pada 4 Februari 1903 dan berhijrah ke Amerika Syarikat pada tahun 1950an menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 9.03 pagi, menurut rakan yang juga penjaganya Michael Mannion dan Trish Corbett.

Menurut data Kumpulan Penyelidikan Gerontology, Imich diiktiraf sebagai lelaki paling tua di dunia yang hidup oleh Buku Rekod Dunia Guinness selepas Arturo Licata dari Itali mati sebelum menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-112.

Bagaimanapun, Imich gagal mengatasi manusia paling tua yang masih hidup di dunia iaitu, Misao Okawa yang merupakan seorang wanita dari Jepun yang berusia 116 tahun.

Sebelum ini Imich yang tidak pernah minum arak, gemar memakan ayam, ikan dan coklat itu pernah berkata, usianya yang panjang itu disebabkan ‘gen yang baik’.

Beliau yang menjadikan berenang dan gimnastik sebagai hobi berhijrah ke Amerika Syarikat bersama isterinya, Wella.

Pasangan itu  menetap di Connecticut dan Imich kemudian berpindah ke New York selepas kematian Wella pada 1986.

Imich pernah menjadi penyunting untuk buku Incredible Tales of the Paranorma pada tahun 1995 ketika berumur 92 tahun dan ketika di Poland dia pernah menjadi profesor kimia.




Artikel Lain