BANGKOK: Bagi penduduk di selatan Thailand, terutama umat Islam, Ramadan kali ini mungkin sunyi tanpa bacaan ayat-ayat suci al-Quran dan program keagamaan lain yang lazimnya berkumandang melalui corong radio. Ini kerana sejak rampasan kuasa pada 22 Mei lalu, radio-radio komuniti di wilayah selatan telah diarah menghentikan siaran dan sekalipun rayuan telah dibuat agar mereka dibenar kembali bersiaran sebelum Ramadan, sehingga kini masih belum ada jawapan. "Setakat ini pihak tentera di selatan tidak boleh beri jawapan kerana arahan menghentikan siaran radio bukan hanya di selatan tetapi di seluruh negara, " kata Pengarah Media Selatan, Wan Ahmad Wan Kacik kepada Bernama. Jurucakap junta di sini, Pattamaphorn Rattanadilok Na Phuket berkata keputusan mengenai perkara itu bergantung kepada Suruhanjaya Telekomunikasi dan Penyiaran Kebangsaan. Arahan menghentikan siaran oleh Majlis Kebangsaan Bagi Keamanan dan Ketenteraman itu membabitkan 14 stesen televisyen satelit dan 6,000 stesen radio komuniti berdaftar serta 2,000 yang tidak berdaftar, bertujuan menjaga keamanan. Di Pattani, Yala dan Narathiwat, lebih 50 stesen radio komuniti terjejas termasuk Stesen Radio dan Televisen Bahasa Melayu yang baru dibuka selama setahun lebih oleh Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC). Mengulas lanjut, Wan Ahmad berkata radio komuniti memainkan peranan penting di wilayah selatan terutama Media Selatan yang merupakan stesen radio dan laman sesawang. "Rancangan Dunia Hari Ini adalah ruangan yang paling ramai peminat," katanya. Program itu wujud selepas termeterainya Dialog Damai di Kuala Lumpur pada 28 Feb 2012 antara Thailand dan wakil Gerakan Pembebasan Patani-BRN (Barisan Revolusi Nasional) dengan Malaysia sebagai fasilitator. Rancangan ini memberi ruang kepada semua pihak menyuarakan hasrat mereka, kata beliau. Antara yang pernah ditemu bual menerusi program itu ialah wakil BRN Hasan Taib, Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Negara dan wakil tentera Jen. Paradorn Srichapan serta fasilitator dari kerajaan Malaysia iaitu Datuk Seri Ahmad Zamzamin Hashim. "Dunia Hari Ini mendapat sambutan dari segi saranan serta nasihat dan sebagainya daripada rakyat. Kalau dulu kita tidak pernah dengar rakyat Pattani memperkatakan tentang pendamaian, proses damai dan sebagainya," katanya. Wan Ahmad juga berkata maklumat yang disampaikan dalam siaran dalam bahasa Melayu lebih dipercayai oleh masyarakat setempat. Ini kelebihan radio komuniti kalau dibandingkan dengan radio kerajaan dan sebagainya, iaitu masyarakat umumnya di Pattani ini memberi kepercayaan kepada radio komuniti, kata Wan Ahmad. Beliau berkata selain daripada maklumat pengetahuan berita dan sebagainya, tugas radio komuniti di selatan ialah siaran agama seperti azan, kuliah agama dan sebagainya. Katanya, radio kerajaan banyak menggunakan bahasa Thai, sedangkan ramai rakyat di selatan Thai kurang memahami bahasa itu. "Saya rasa perkara ini akan membawa akibat yang buruk sekiranya Ramadan nanti kita tidak dapat menyiarkan radio kita. Masyarakat mungkin tertanya-tanya tentang kesungguhan kerajaan pusat terhadap masyarakat di sini dan sebagainya," kata Wan Ahmad.