PENERBANGAN JetBlue dari New York ke Las Vegas pada pagi Sabtu telah dialihkan ke Detroit selepas seorang penumpang yang sedang bertekak dengan keluarganya naik angin terhadap atendan penerbangan. Dalam rakaman video penumpang, lelaki yang tidak dikenali dilihat memaki seorang anak kapal, manakala anaknya menyuruhnya berhenti dan seorang yang lain dilihat cuba menenangkannya. Dia menjerit dalam bahasa asing dan tidak bercakap Bahasa Inggeris, menurut seorang penumpang menyebabkan tiada siapa mempunyai sebarang idea tentang apa yang menjadi punca kemarahannya. Penerbangan pada pukul 6.40 pagi dari Lapangan Terbang Antarabangsa John F.Kennedy telah terbang selama kira-kira satu jam apabila gangguan itu berlaku, menurut seorang penumpang yang turut merakamkan kejadian. Dia kelihatan sedang bertengkar dengan keluarganya sebelum penumpang lain cuba meleraikan keadaan. Lelaki itu bagaimanapun hanya menjadi lebih marah, dan menghantuk-hantukkan tempat duduk sambil memberi isyarat kepada anak kapal yang cuba menenangkannya. Tetapi usaha itu hanya sia-sia apabila lelaki itu mula menyerang atendan penerbangan sementara anak-anaknya menjerit ketakutan. "Ayah, ayah, hentikannya," mereka merayu. Bapa mereka telah digari oleh anak kapal dan dibawa beredar dari situ. Kapten kemudian membuat keputusan menurunkan lelaki itu di Detroit, di mana dia telah dibawa ke hospital tempatan untuk penilaian. "Oleh kerana isu ini melibatkan pelanggan, kapten membuat keputusan mengalihkan penerbangan ke Detroit sebagai langkah berjaga-jaga," kata syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan. Tiada sebarang kejadian lain yang berlaku, dan penerbangan diteruskan semula selepas beberapa jam. Penumpang terbabit masih dalam tahanan polis dan masih tidak dapat dipastikan sama ada ia dipengaruhi dadah atau alkohol.