JIKA anda rasa sesuatu yang pelik pada ais krim yang dijamah, jangan pula risau kerana ia hanya sekadar perisa terbaharu yang ada kaitan dengan buaya. The Sweet Spot, sebuah kedai makan di Davao City, Filipina, telah memutuskan untuk menghidangkan hidangan pelik sebagai pencuci mulut untuk pelanggannya. Pemilik kedai, yang terdiri daripada pasangan suami isteri, Dino dan Bianca Ramos, telah menjual ais krim yang unik sejak dihadiahkan telur buaya dari bapa saudara Dino. Memulakannya sebagai satu percubaan dan eksperimen, ia kini telah bertukar menjadi salah satu hidangan paling popular yang dijual di situ. "Sudah tentu ia merupakan ais krim yang tidak mempunyai rasa daging buaya," kata Dino. "Kita hanya menggunakan telurnya. Tetapi telur buaya menjadikan rasa ais krim begitu lazat. "Oleh kerana buaya merupakan spesies terancam, kami hanya mendapatkan telur yang tidak menetas atau lebihan," katanya. Telur buaya dikatakan mempunyai 80 peratus kuning telur dan lebih sihat berbanding telur ayam.