suria

Pelajar Berusia 15 Tahun Gantung Diri Selepas Dikecewakan

Mendiang Helena Farrell

CUMBRIA (ENGLAND): Seorang murid perempuan berusia 15 tahun yang putus cinta telah bertindak membunuh diri dengan mengantung diri di tempat dia dan bekas kekasihnya mula-mula keluar berpacaran, demikian satu inkues mengenai kematiannya dimaklumkan pada Isnin.

Portal berita Britain, Mail Online melaporkan pada Selasa, Helena Farrell, 15, telah ditemui tergantung di kawasan berhampiran rumahnya di sini dan ketika mayatnya ditemui, muzik sedih mengenai bagaimana seorang saintis telah mengabaikan kekasihnya kerana terlalu sibuk dengan kerja berkumandang tanpa henti di sisi mayat tersebut dipercayai dirakam dan dipasang oleh mendiang sendiri sebelum dia mengantung diri.

Dia dikenali sebagai murid yang pintar, riang dan sukakan aktiviti kembara dengan bakat seni semulajadi.

Inkues itu diberitahu yang Helena sebelum itu dengan hati yang berat telah bertukar sekolah setelah tidak tahan menjadi bahan ejekan rambutnya yang merah dan loghat pertuturannya yang dalam.

Bapanya, Enda Farrell, 56, memberitahu inkues itu: ‘Helena berasa tidak senang dan tidak gembira kerana dia menjadi bahan ejekan ramai kerana warna rambutnya yang merah menyala dan juga kerana gaya pertuturannya yang dalam."

Ekoran daripada itu dia ditukarkan ke sebuah sekolah swasta dan ketika berusia 14 tahun telah menyertai satu program pertukaran pelajar di Eropah – di mana dia kemudiannya mendakwa telah menjadi mangsa pencabulan seorang lelaki berusia 25 tahun.

Menurut Mail Online lagi, insiden tersebut telah menyebabkan dia sengsara masalah bulimia sepanjang 18 bulan.

Helena kemudiannya meninggalkan sekolah swasta itu dan mendaftar di sebuah sekolah awam, Kirkbie Kendal School.

Di situ, iaitu sekitar tahun 2012, dia jatuh cinta dengan Billy Williams, seorang senior di sekolahnya.

Dalam temujanji mereka yang pertama, Helena dan Billy telah keluar ke satu kawasan hijau berhampiran rumahnya di Kendal.

Bagaimanapun menjelang Oktober tahun yang sama, Billy memutuskan untuk menamatkan percintaan mereka.

Selepas berpisah, Helena didapati telah menulis di laman Facebooknya bahawa hatinya kini dilukai.

Bapa Helena dan ibunya yang merupakan seorang doktor telah cuba untuk memulihkan perasaan kecewa anak mereka itu dengan pelbagai cara malah bekas kekasihnya turut cuba membantu dengan mengalakkannya berjumpa kaunselor, termasuk mengiringinya dalam beberapa perjumpaan.

Inkues itu juga diberitahu yang pada suatu hari, Billy telah menerima pelawaan Helena untuk ke satu majlis dan di situ Helena telah melihatnya mencium perempuan lain lalu cuba memotong perutnya dengan sebilah pisau.

Billy yang kini berusia 18 tahun dan turut memberi keterangan pada inkues itu berkata: "Ketika dia cuba bertindak memotong perutnya itu, saya bertanya kepadanya kenapa awak cuba mencederakan diri sendiri dan dia sekadar meraung. Mulai saat itu baru saya sedar yang dia masih tidak dapat melupakan diri saya.”

Pada hari kematian Helena iaitu Januari tahun lalu, Billy memberitahu yang Helena terlebih dahulu telah mengirimkan beberapa teks pesanan kepadanya.

"Dia memberitahu saya yang dia berada di tempat di mana kami mula-mula keluar bersama dan saya merayu kepadanya supaya jangan melakukan sesuatu yang bodoh setelah dia mengucapkan selamat tinggal.

"Kemudian dia sekali lagi mengirim mesej mengatakan yang dia cintakan saya dan selepas itu mengucapkan terima kasih di atas segala-galanya.

"Saya berasa tidak sedap hati dan terus memaklumkan keluarga saya apa yang sedang berlaku."

Mereka kemudiannya menghubungi keluarga Helena, yang kemudiannya telah menghubungi polis.

Billy menyertai usaha mencari Helena bersama-sama pihak polis dan mereka menemui mayatnya tergantung pada sebatang pokok di kawasan semak berhampiran dengan rumahnya.

Seorang saksi kejadian, anggota polis Paul Kelly memberitahu Inkues itu, ketika dia tiba di tempat kejadian dia bukan sahaja menemui mayat yang tergantung pada sebatang pokok tetapi juga mendapati sebuah lagu berjudul The Scientist dendangan Kumpulan Coldplay dimainkan berulang kali tanpa henti.

Lagu itu mengisahkan bagaimana seorang saintis mengabaikan kekasihnya kerana terlalu sibuk dengan urusan kerjanya.

Dia juga menemui selonggok pakaian bersama-sama 14 helai kertas yang tertulis beberapa perkataan atau kenyataan.

Inkues itu kemudiannya diberitahu yang Helena telah meninggalkan beberapa keping surat kepada keluarganya dan rakan-rakan mengucapkan selamat tinggal pada minggu dia membunuh diri itu.

Malangnya surat-surat itu telah dirampas dan disimpan oleh guru sekolah tanpa membukanya.

Puan Farrell, ibu kepada Helena memberitahu Inkues itu yang anaknya adalah seorang gadis yang baik, dan tidak pernah menyusahkan keluarga.

"Dia adalah seorang anak dengan semangat yang kuat dan saya amat mengaguminya," ujar ibu Helena.

Artikel Lain