suria

Wanita Sanggup Berhabisan Demi Empat Orang Bayi Palsunya

Wendy bersama empat bayi palsu kesayangannya.
SEORANG ibu yang taksub kepada bayi tetapi tidak dapat lagi melahirkan zuriat telah menghabiskan sebanyak £2,000 terhadap 'bayi-bayi palsu'.

Apabila Wendy Archer, 40, ibu kepada empat anak dari Middlesbrough itu bangun pada waktu pagi untuk menyiapkan  anak-anak sebenarnya pergi ke sekolah, dia sebelum itu akan mengejutkan 'bayi plastiknya' dan menukar lampin mereka.

Wendy menghabiskan masanya berjam-jam setiap hari untuk memakaikan pakaian, memandikan dan membeli-belah barangan keperluan untuk empat bayi palsu itu termasuklah memanjakan mereka dengan tempat tinggal dan kerusi kereta baharu.

"Saya memang sukakan bayi. Bagi saya mereka bukan anak patung, mereka adalah anak-anak saya," kata ibu tunggal ini.

"Mereka begitu cantik dan saya benar-benar menyayangi mereka. Saya kini tidak boleh hidup tanpa mereka dan bau mereka sekarang juga seperti bau bayi sebenar."

Wendy melahirkan anak perempuannya Kirsty, apabila dia berusia 16 tahun, dan tiga anak yang lain, Nathan, 22, Keenan, 15 dan Kia, 13.

Selepas Kia, Wendy, yang tidak pernah mempunyai pekerjaan, membuat keputusan untuk disterilisasi (ikat salur peranakan).

Tetapi tidak lama kemudian dia menyesal, dan berkata tindakannya itu sebagai kerugian besar.

Justeru, dia membeli empat anak patung dari Shelley's Reborn Dolls iaitu Johnson, Elisa, Shyan dan Thomas.

Wendy berkata: "Saya tahu sesetengah orang mungkin fikir saya gila tetapi begitu ramai kawan-kawan saya kagum dengan anak patung yang boleh membuatkan seseorang itu gembira.

"Apabila anda memeluk mereka, mereka terasa seperti bayi,  baunya juga seperti bayi yang sebenar, kerana pakaian mereka dicuci menggunakan pelembut fabrik. Ia benar-benar menakjubkan."

anak patung, bayi palsu

Artikel Lain