suria

Lebih 30,000 Warga Indonesia Di Beberapa Negeri Mengundi Awal

Rakyat Indonesia mengundi dalam pengundian awal bagi Pemilihan Umum (Pemilu) Presiden Indonesia yang ke-11 di Konsulat Jeneral Republik Indonesia Pulau Pinang, Ahad. -fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Lebih 300,000 warga Indonesia di beberapa buah negeri dijangka menunaikan kewajipan mengundi awal dalam Pemilihan Umum (Pemilu) Presiden Indonesia ke-11, Ahad.

Semalam, lebih 50,000 pengundi yang layak mengundi di Kuala Lumpur mengundi awal di Kedutaan Besar Repblik Indonesia di Jalan Tun Razak dan Sekolah Indonesia Kuala Lumpur di Lorong Tun Ismail.

Sebelum ini, Duta Besar Indonesia di Malaysia Herman Prayitno berkata lebih 400,000 warga Indonesia yang menetap di negara ini mendaftar sebagai pemilih.

Di KUCHING, Panitia Pemilihan Luar Negeri (PPLN) menjangka kira-kira 30 peratus daripada 1,500 pengundi yang layak mengundi di sekitar Kuching keluar mengundi awal untuk Pemilu di Pejabat Konsul Jeneral Republik Indonesia Kuching.

Ketua PPLN Sarawak Fathan Sutrisno berkata ini berikutan 103,955 pengundi yang didaftarkan di Sarawak mengundi menerusi "drop box" yang sudah dilakukan sejak 30 Jun hingga 3 Julai lalu.

"Setakat 10 pagi tadi kira-kira 200 pengundi sudah menunaikan kewajipan masing-masing di sini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini.

Pusat pengundian awal di Pejabat Konsul Jeneral Republik Indonesia Kuching mula dibuka jam 9 pagi dengan Konsul Jeneral Republik Indonesia di Kuching Djoko Hardjanto dan isteri Rosa Triana menjadi pengundi pertama.

Proses pengundian berjalan lancar.

Mengulas pengundi yang menggunakan kaedah "drop box", Fathan berkata PPL Nmelaksanakan kaedah itu sejak 30 Jun hingga 3 Julai di 246 kilang dan ladang di seluruh Sarawak.

"Kaedah "Drop Box" melibatkan penghantaran kertas-kertas undi oleh petugas Pemilu ke lokasi penempatan warga republik yang memohon untuk melaksanakan kewajipan mereka menerusi kaedah itu.

Pengiraan undi akan dibuat di Pejabat Konsul Jeneral Republik Indonesia Kuching dari 9 hingga 14 Julai sebelum keputusan dihantar kepada Komisi Pemilihan Umum atau Suruhanjaya Pilihan Raya Republik Indonesia pada 15 Julai, kata Fathan.

Di KOTA KINABALU, kira-kira 160,000 warga Indonesia di Sabah dijangka menunaikan kewajipan mengundi awal dalam Pemilu di Konsulat Republik itu, yang dibuka sejak 9 pagi.

Pemangku Konsul Jenderal Republik Indonesia Kota Kinabalu, M. Fauzi Eko Nugroho berkata jumlah itu termasuk 11,200 pengundi di Kota Kinabalu, 56,000 di Tawau, Semporna dan Lahad Datu dan selebihnya yang menggunakan kaedah "drop box" serta mereka yang mengundi di Tempat Pungutan Suara (TPS) dan 47 pusat mengundi di ladang-ladang di seluruh Sabah.

"Kita mengharapkan lebih separuh warga Indonesia keluar mengundi kerana kita ada TPS bergerak atau keliling yang menggunakan mobil (kereta) di sekitar Penampang, Inanam, Papar dan Tuaran serta pusat sendiri di Tawau yang telah berlangsung tanggal 4,5 dan 6 Julai," katanya kepada pemberita di Konsulat Jenderal.

Beliau berharap proses pengundian berjalan lancar sempena mengambil keberkatan di bulan Ramadan selain kerjasama baik daripada agensi keselamatan negara termasuk Jabatan Imigresen dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu.

Ketua Panitia Pemilu Luar Negara Konsulat Jenderal Indonesia Kota Kinabalu Harun Tafsir berkata warga republik itu mempunyai masa sehingga 6 petang ini untuk menunaikan kewajipan mereka mengundi di pejabat konsulat di Kota Kinabalu.

Katanya 250 kakitangan terdiri daripada kakitangan Konsulat Jeneral Indonesia di Kota Kinabalu dan sukarelawan di kalangan masyarakat serta warga republik itu terlibat di dalam proses Pemilu Presiden 2014 di Sabah.

Menurutnya, proses pengiraan undi akan dilakukan pada 9 sehingga 13 Julai.

Sementara itu, Ketua Konsulat Republik Indonesia di Tawau, Muhammad Soleh yakin lebih 80 peratus daripada lebih 5,000 pengundi warga Indonesia berdaftar di Tawau dijangka keluar mengundi berdasarkan pilihan raya umum Indonesia baru-baru ini.

"Walaupun umat Islam sedang berpuasa, saya tetap yakin rakyat Indonesia tetap akan turun untuk menunaikan kewajipan mereka. Pejabat Konsulat Tawau telah menyediakan beberapa bas untuk mengangkut mereka dari ladang-ladang untuk memudahkan mereka datang menunaikan kewajipan," katanya kepada Bernama.

Muhammad yang turut mengundi di pusat itu berkata 43,116 pengundi yang mendaftar di Lahad Datu, Kunak dan Semporna telah menunaikan kewajipan mereka di tempat kerja masing-masing. 

Pada masa sama, Muhammad juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan para majikan yang memberi kerjasama dalam melicinkan perjalanan pilihan raya kali ini. 

Dalam pada itu, isteri M. Fauzi, Rika Sari Fauzi yang pertama kali mengundi awal itu melahirkan rasa teruja dan bangga dapat menunaikan tanggungjawab melaksanakan sistem demokrasi untuk tanah airnya.

"Kita suka mengundi di Malaysia kerana kerajaan (Malaysia) mendokong demokrasi seperti izin mengundi agar rakyat Indonesia berbuat sesuatu pada negaranya," katanya kepada Bernama.

Bagi suri rumah sepenuh masa, Noraini Muhammad Saing, 43, yang kali kedua mengundi di Malaysia sejak menetap 17 tahun di sini berkata kita mengundi mudah-mudahan Indonesia makmur dan sebagai warga Indonesia kita mahu negara yang lebih maju. Kita juga gembira dengan hubungan janji Indonesia-Malaysia yang sangat akrab," katanya.

Di GEORGE TOWN, sebanyak 43,913 warga Indonesia di wilayah utara dijangka menunaikan tanggungjawab mereka di Konsulat Jenderal Republik Indonesia, yang dibuka 9.10 pagi tadi.

Konsul Jenderal Republik Indonesia di Pulau Pinang, Ronald JP Manik berkata daripada jumlah itu, 13,287 adalah lelaki manakala 30,626 wanita.

Beliau berkata 206 warga Indonesia menunaikan tanggungjawab di Konsulat Jenderal Republik Indonesia, Jalan Burmah setakat 11 pagi sebelum ia ditutup 7 malam nanti.

"Kita menjangkakan 1,786 warga Indonesia yang tinggal di sekitar Pulau Pinang mengundi di TPS manakala 41,289 lagi yang tersebar di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang mengundi melalui pos," katanya.

Ronald berkata 838 pengundi yang tidak dapat hadir ke TPS atau tidak dapat dihubungi secara pos telah membuat pengundian melalui sistem 'drop box' pada 4 Julai di empat lokasi iaitu Kulim (Kedah) Tanjung Tokong, Sungai Ara dan Alma (Pulau Pinang).

Beliau berkata kehadiran positif di Konsulat Jenderal sejak pagi tadi menunjukkan warga Indonesia menggunakan hak bersuara dengan baik bagi memilih Presiden Indonesia yang ke-11.

Katanya warga Indonesia harus berfikir yang terbaik ketika mengundi dan berharap pemerintahan baharu nanti dapat membangunkan sosial, ekonomi dan mensejahterakan masyarakat.

Ronald berkata pengiraan undi akan dilakukan pada 9 Julai nanti di Konsulat Jenderal itu.

Tinjauan Bernama mendapati proses pengundian di Konsulat Jenderal berjalan lancar tanpa sebarang gangguan dan empat saluran mengundi disediakan untuk mengelakkan kesesakan.

Pemilu Presiden Indonesia penggal 2014-2019 bakal menyaksikan pertembungan antara Prabowo Subianto bersama pasangannya Hatta Rajasa yang dinamakan sebagai calon presiden dan naib presiden oleh pakatan yang diketuai Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) dan Joko Widodo (Jokowi) bersama Jusuf Kalla daripada Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P).
Pemilu, Indonesia

Artikel Berikut

Artikel Lain