TOKYO: Dalam sebuah negara yang terkenal dengan teknologi tinggi dan pintar, satu pameran tandas gergasi dan bahan buangan diadakan di Tokyo, khusus untuk rakyat Jepun. Kanak-kanak yang memakai topi berbentuk bahan buangan teruja menaiki gelongsor tandas gergasi untuk ke bilik air yang dibina dengan ukuran lima meter (16 kaki) tinggi, sempena pameran 'Journey of Poo' (perjalanan bahan buangan) di Muzium Negara Sains Baharu dan Inovasi. Tujuan pameran itu dianjurkan, termasuklah pameran mangkuk tandas dengan dendangan lagu, adalah untuk mendidik pelawat mengenai sistem pembetungan, kesihatan dan bahan buangan. Sebuah 'tandas yang marah' bertanya dengan kuat apa yang akan berlaku jika sistem pembentungan di dunia enggan menjalankan tugasnya, sambil menggalakkan kanak-kanak untuk berkata 'terima kasih' selepas mengepam tandas mereka. Kanak-kanak juga berbaris untuk bermain-main dengan tanah liat, membentuk najis, manakala terdapat juga pasangan bercinta yang menikmati temu janji mereka dengan cara luar biasa dengan mengambil peluang memakai topi berbentuk najis dan mengelongsor ke tandas.