LONDON: Jika anda bergelut untuk tidur nyenyak setiap malam, cuba selak jendela dan lihat sama ada di atas langit bulan mengambang atau tidak. Ini kerana, bulan harus dipersalahkan sebagai punca mengapa manusia berhadapan dengan malam yang gundah gulana, resah dan tidak dapat lena, demikian hasil satu kajian saintifik mendedahkan. Kajian itu juga mendapati, pada waktu malam ketika sekumpulan manusia yang menjalani ujian ini ditempat di sebuah bilik yang tidak mempunyai tingkap dan tidak tahu yang di luar bulan sedang mengambang penuh, mereka tidak dapat lena sekurang-kurangnya selama 25 minit. Hasil penemuan saintifik itu seolah-olah membuktikan kepercayaan berabad lamanya yang bulan ketika mengambang mempunyai pengaruh ke atas tingkah laku manusia adalah benar dan ada kaitan. Walaupun kajian ini tidak mengaitkan bulan mengambang dengan serigala jadian, yang merupakan cerita rakyat paling popular dalam boleh dikatakan semua budaya dan masyarakat dunia, tetapi penemuan ini menimbulkan tanda tanya tentang hubungan tingkah laku manusia dengan pergerakan bulan. Tetapi saintis kini telah berjaya membuktikan bahawa cara badan manusia berfungsi adalah selaras dengan pergerakan bulan dan juga bumi. Michael Smith, seorang pelajar kedoktoran falsafah di University of Gothenburg yang mengetuai kajian ini berkata: "Hasil kajian kami mendapati, ada kemungkinan besar bahawa badan dan tingkah laku manusia ada kaitan dengan pergerakan bulan dan bumi." Katanya lagi, secara evolusinya, manusia menjadi lebih aktif ketika bulan mengambang kerana pada waktu ini mereka lebih mudah berburu dan menjadi lebih bersiap-siaga terhadap ancaman. Penemuan itu yang diterbitkan dalam majalah Current Biology, adalah bersandarkan kajian yang telah dijalankan ke atas 47 orang yang diletakkan di sebuah makmal tidur selama enam malam. Kajian itu memberi tumpuan kepada bagaimana manusia respon kepada bunyi bising ketika sedang tidur dan kemudian keputusan itu dibandingkan dengan fasa pergerakan bulan. Smith dan para penyelidiknya mendapati, subjek yang menjalani ujian ini menghadapi gangguan tidur ketika bulan mengambang penuh dan kebanyakkan mereka secara puratanya tidur tidak cukup 25 minit. Keseluruhan paten tidur 47 orang yang menyertai kajian tersebut didapati dipengaruhi oleh pergerakan bulan dan tidur kurang 50 minit. Kesemua mereka juga didapati lebih sensitif kepada bunyi bising pada waktu bulan mengambang penuh. Makmal yang dijadikan bilik ujian tersebut tidak dilengkapi dengan tingkap, sekaligus membuktikan mereka tidak dipengaruhi oleh cahaya bulan mengambang penuh atau menyedari yang bulan sedang mengambang. Smith bagaimanapun mengakui yang mereka memerlukan kajian lanjut yang lebih mendalam untuk membuktikan penemuan mereka itu adalah benar dan berasas. Katanya, oleh kerana sampel yang dijalankan itu berskala kecil, ada kemungkinan juga segala apa yang ditemui itu adalah satu kebetulan semata-mata. Hujah ini disokong oleh profesor Russell Foster, seorang pensyarah neurosains di University of Oxford. "Kita masih tidak tahu lagi secara pasti sama ada pantulan cahaja daripada permukaan bulan mengambang mempunyai kesan ke atas otak manusia atau menjadikan otak lebih cergas dan menghasilkan kelakuan-kelakuan tertentu pada fasa-fasa tertentu. "Kita juga tidak pasti dengan nyata sama ada tidak dapat tidur dengan nyenyak telah menyebabkan berlakunya tindak balas ke atas paten tidur kita," ujarnya lagi. Kajian terdahulu oleh para saintis British mendapati, manusia mengalami mimpi yang lebih jelas ketika bulan sedang mengambang. Kajian itu yang dijalankan pada Mac tahun ini oleh profesor psikologi Universiti Hertfordshire, Richard Wiseman mendapati bahawa apa yang terkandung di dalam mimpi manusia tidak berbeza dengan musim atau hari-hari tertentu dalam minggu berkenaan. Tetapi mimpi ketika bulan sedang mengambang adalah amat jelas sekali lebih ‘pelik dan aneh."