TEL AVIV: Israel telah mengeluarkan arahan kepada penduduk di timur dan utara Gaza supaya segera meninggalkan kediaman masing-masing sebelum mereka meneruskan serangan udara yang seterusnya. Dengan amaran ini, bermakna, gencatan senjata yang dianjurkan oleh Kerajaan Mesir pada Selasa untuk menghentikan pertempuran di Gaza tidak berhasil. Kedua-dua belah pihak iaitu Hamas dan Israel berbalas-balas tembakan roket ke arah kawasan masing-masing sejak beberapa hari yang lalu mengorbankan tidak kurang dari 200 nyawa. Israel, berazam untuk menghapuskan gerila Hamas yang menurut mereka bertanggungjawab terhadap serangan roket dan penculikan serta pembunuhan ke atas tiga remaja Yahudi beberapa minggu lalu. Serangan udara yang dilancar Israel sejak 8 Julai itu telah mendapat kecaman dunia kerana ia telah mengorbankan begitu ramai orang awam termasuklah kanak-kanak yang tidak berdosa. Israel dalam satu kenyataan yang dipetik oleh stesen BBC menegaskan, mereka memberi amaran awal itu sebagai persediaan untuk mengelakkan sebarang malapetaka ke atas orang awam tetapi sebaliknya amaran itu hanya mencetuskan kemarahan ramai kerana beribu orang awam akan menjadi pelarian dan tidak tahu ke mana harus mereka pergi dalam keadaan darurat ini. Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu kini dikatakan berada dalam situasi serba salah kerana pada masa yang sama terdapat desakan daripada rakyatnya yang mahukan serangan dilakukan melalui darat bagi mengelakkan lebih banyak nyawa orang awam terkorban tetapi langkah itu sangat berisiko tinggi.