KEDATANGAN Ramadan mendorong lebih ramai penduduk Venezuela mendekati penganut Islam dan cuba memahami ibadah itu. Media melaporkan, sikap penduduk setempat juga semakin pemurah kerana mereka mengagumi kesabaran penganut Islam menahan lapar dan dahaga seharian. Sesetengah pihak seperti dilaporkan media, mula mendekati penganut Islam bagi mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai agama itu serta amalannya. Duta Iran di Venezuela, Hojatolah Soltani berkata, di ibu negara Venezuela, Caracas orang ramai daripada pelbagai kepercayaan dan agama kelihatan berminat mengetahui lebih banyak maklumat mengenai Islam. “Mereka bertanya kepada cendekiawan yang ada dan meminta supaya diajar mengenai al-Quran serta nilai Islam,” katanya. Data kerajaan menunjukkan ada hampir 300,000 orang penganut Islam menetap di Venezuela. Sejak beberapa dekad lalu ribuan Muslim dari Timur Tengah, termasuk dari Syria, Lubnan dan Iran berpindah ke Venezuela.