MOSCOW: Syarikat Penerbangan Aeroflot, milik Rusia memutuskan untuk mengelak melintasi ruang udara Ukraine ekoran tragedi yang menimpa pesawat Penerbangan Malaysia MH17 yang mengorbankan 295 nyawa. Beberapa jam selepas kejadian itu, Aeroflot mengeluarkan kenyataan bahawa mereka kini memutuskan untuk tidak melintasi ruang udara Ukraine lagi. Sebelum itu, sebuah lagi syarikat penerbangan awam Rusia, Transaero Airlines turut membuat keputusan yang sama. Manakala syarikat penerbangan utama Kazakhstan, Air Astana telah mengantungkan kesemua penerbangannya dari Almaty ke ibu negara Ukraine, Kiev ekoran kejadian ini. MH17 yang menggunakan model Boeing-777 sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia terhempas dari ketinggian 10,000 meter berhampiran bandar Donetsk di Timur Ukraine. Kawasan itu kini sedang bergolak dengan konflik dalaman yang menyaksikan puak pemisah dari etnik Rusia berjuang menentang kerajaan pusat Ukraine dengan bantuan dan sokongan moral Rusia. Pesawat malang itu membawa 280 penumpang dan 15 anak kapal. Ia dipercayai ditembak jatuh menggunakan peluru torpedo darat ke udara buatan Rusia.