suria

Penyokong Sunderland Kumpul Dana Buat Penyokong Newcastle Mangsa Nahas MH17

Kalungan bunga diletakkan di atas jersi sebagai tanda penghormatan buat John Alder dan Liam Sweeney yang maut dalam nahas MH17, di St James Park, London.

PENYOKONG Sunderland melupakan seketika mengenai persaingannya dengan penyokong pasukan lain apabila mereka mengambil keputusan mengumpul dana untuk dua penyokong Newcastle, John Adler, 63, dan Liam Sweeney, 28, yang maut dalam nahas Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 ketika dalam perjalanan untuk menonton perlawanan pasukan itu di New Zealand.

Para penyokong pada mulanya mahu mengumpul dana hanya £100 (RM543.19) untuk membeli bunga sebagai tanda penghormatan menerusi halaman GoFundMe. Bagaimanapun, jumlah itu mencatatkan kira-kira £22,000 (RM119,511.74) pada malam Ahad.

Gary Ferguson yang mencipta halaman itu berkata: "Kami mungkin penyokong Sunderland, yang secara tradisi bersaing dengan Newcastle, tetapi terdapat perkara yang jauh lebih penting dari mana-mana perlawanan bola sepak.

"Berita itu amat menyedihkan apabila dua penyokong Newcastle maut (dalam nahas MH17) pada minggu ini benar-benar mengejutkan dan mendukacitakan. Sumbangan di sini akan membantu untuk membuat bayaran bunga sebagai tanda penghormatan kepada mereka dan mengeratkan perpaduan antara kedua-dua kelab. 

"Sebarang lebihan wang akan didermakan ke sebuah badan kebajikan yang masih belum ditetapkan lagi. Terima kasih di atas masa, usaha dan sumbangan anda.

"RIP (bersemadi dengan aman) buat John Alder dan Liam Sweeney," katanya. - mirror.co.uk


Artikel Lain