TINDAKAN Prabowo Subinato "menarik diri" daripada persaingan merebut jawatan Presiden Indonesia mungkin menyebabkan dia berdepan masalah yang tidak dijangka. Menjelang pengumuman rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya Indonesia pada Selasa, bekas jeneral tentera itu menyatakan keputusannya "menarik diri" dan secara tidak langsung memudahkan Joko Widodo memenangi persaingan berkenaan. Prabowo memberi alasan enggan menerima keputusan rasmi diurus suruhanjaya pilihan raya berkenaan kerana "cacat." "Justeru kami menarik diri daripada proses yang sedang berlangsung," katanya. Namun pengumuman itu tidak dihadiri regu Prabowo untuk jawatan naib presiden, Hatta Rajasa. Namun, tindakan Prabowo itu bercanggah dengan peruntukan undang-undang pilihan raya Indonesia. Pada fasal 246 peruntukan perjalanan pilihan raya presiden, ada dinyatakan bahawa seseorang calon presiden atau naib presiden yang mengundur diri dengan sengaja selepas pemilihan pusingan pertama boleh dipenjara minimum 36 bulan sehingga 72 bulan. Calon terbabit juga boleh dikenakan denda Rp50 bilion (RM13,678,204) hingga Rp100 bilion (RM27,356,409). Pengumuman Prabowo itu segera mendapat perhatian ramai. Antaranya penulis dan budayawan terkenal Goenawan Mohamad yang memberi reaksi melalui akaun Twitternya @gm_gm: "Apakah Prabowo tak ada yang menasihati?" Bekas pegawai kanan skuad elit tentera era Suharto itu berkata, pihaknya enggan mengorbankan mandat diberi rakyat dipermainkan dan diselewengkan. "Kami bersedia menang atau kalah, tetapi dengan cara demokratis dan terhormat," katanya. Semalam pelbagai pihak yang sebelum ini menyokong Prabowo sudah mengaku kalah dan menyampaikan ucapan tahniah kepada lawannya, Joko Widodo. Antaranya bekas pemimpin Parti Amanat Nasional (PAN) Amien Rais dan ketua kempennya, Mahfud MD. Hatta Rajasa ialah Ketua Umum PAN.