suria

Pesawat Kanada Berpatah Balik Selepas Diancam Penumpang

TORONTO: Sebuah pesawat Kanada yang berlepas ke Panama terpaksa diiringi oleh jet pejuang Amerika Syarikat (AS) untuk kembali ke Toronto, untuk pihak polis memindahkan seorang penumpang yang didakwa mengancam keselamatan penerbangan, menurut polis, Jumaat.

Pegawai-pegawai dilengkapi senjata yang menaiki penerbangan itu selepas ia kembali ke Toronto, mengarahkan penumpang supaya tunduk dan mengangkat tangan sebaik sahaja mereka memasuki kabin, menurut video penumpang yang ditunjukkan di CTV News.

Penerbangan yang berlepas ke Panama City dari Toronto dan dikendalikan oleh Sunwing Airlines, berada di ruang udara West Virginia apabila ia berpatah balik selepas penumpang membuat ancaman terhadap pesawat itu, kata jurucakap Polis Wilayah Peel, Lilly Fitzpatrick, yang mempunyai bidang kuasa ke atas lapangan terbang utama Toronto.

"Ia menyebabkan kebimbangan kepada juruterbang dan ia berpatah balik," kata Fitzpatrick.

Ali Shahi, rakyat Kanada berusia 25 tahun, berada dalam tahanan dan didakwa dengan empat tuduhan, termasuk mengucapkan ancaman dan membahayakan keselamatan pesawat.

Dua jet pejuang F-16 AS, yang melakukan latihan di kawasan itu, mengiringi pesawat itu kembali ke Toronto, di mana polis telah menunggu di sana.

"Kami mempunyai jet pejuang yang melakukan latihan udara berpusat di Toledo, Ohio. Jadi mereka diminta untuk mengiringi penerbangan ketika ia kembali ke Toronto," kata Jennifer Stadnyk, jurucakap Perintah Pertahanan Aeroangkasa Amerika Utara.

Tindakan ini diambil ketika penumpang yang menaiki kapal terbang berasa lebih takut ekoran beberapa kejadian melibatkan pesawat termasuk penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH17, yang ditembak jatuh minggu lepas di timur Ukraine; penerbangan TransAsia Airways GE222, yang terhempas semasa mendarat dalam cuaca yang buruk pada Rabu di Taiwan; dan penerbangan Air Algerie AH5017 yang terhempas pada hari Khamis di Mali.
Toronto, Kanada

Artikel Sebelum

Artikel Lain