suria

Israel, Hamas Setuju Gencatan Senjata 72 Jam

BAITULMAQDIS: Israel dan Hamas akhirnya bersetuju mengadakan gencatan senjata selama 72 jam lagi seperti yang dicadangkan oleh Mesir mulai jam 8 pagi ini (1 tengah hari waktu Malaysia) bagi menghentikan peperangan selama sebulan yang sudah meragut hampir 2,000 nyawa.

Dalam tempoh tiga hari itu, Mesir akan menjadi tuan rumah kepada perbincangan tidak langsung bagi merangka gencatan senjata jangka panjang. 

 
“Pada jam 8 pagi waktu tempatan esok (hari ini), satu gencatan senjata bermula dan Israel akan menghentikan semua operasi ketenteraan terhadap sasaran pengganas di Semenanjung Gaza," kata jurucakap kerajaan Israel, Mark Regev. 

“Israel akan menghormati gencatan senjata dan kami akan memerhatikan jika Hamas mematuhinya," katanya.


Konflik Israel-Palestin tercetus semula 8 Julai lalu apabila Israel melancarkan serangan udara bertalu-talu yang didakwanya sebagai membalas serangan roket oleh Hamas dari Gaza.

Malah, Israel meningkatkan lagi operasi tenteranya dengan menghantar pasukan tentera darat pada 17 Julai sebagai memusnahkan rangkaian terowong Hamas bagi menyerang negara itu.

Delegasi Palestin bagi perbincangan yang dicetuskan Mesir itu terdiri daripada beberapa kumpulan termasuk Hamas, yang sudah pun memulakan rundingan dengan Mesir sejak beberapa hari ilalu. 

Jurucakap Hamas, Fawzi Barhoum berkata, kumpulan itu menerima pelan gencatan bagi memulakan pelan rundingan berkenaan.

“Adalah jelas sekarang demi kepetingan semua pihak untuk mewujudkan satu gencatan senjata," kata Bassam Salhi, anggota delegasi Palestin.

Hamas menuntut agar Israel pengunduran sepenuhnya tentera Israel dari Gaza termasuk pembebasan tahanan Hamas oleh Israel selain bantuan antarabangsa untuk pemulihan semula Gaza.
genjatan senjata, Hamas, Israel

Artikel Lain