suria

Mesir Jadi 'Orang Tengah' Perbincangan Lanjut Israel-Hamas

BAITULMAQDIS: Akhirnya Israel dan Hamas bersetuju untuk menghentikan keganasan selama tiga hari mulai jam 8 pagi waktu tempatan dan akan mengadakan perbincangan lanjut yang dianjurkan oleh Mesir bagi merangka gencatan senjata jangka panjang. 

Kedua-dua pihak bagaimanapun mempunyai tuntutan masing-masing sebagai syarat gencatan senjata itu dan menganggapnya sebagai perbincangan yang akan menempuhi liku-liku yang sukar. 

Peperangan itu mengakibatkan hampir 1,900 rakyat Palestin terkorban, sebahagian besarnya orang awam yang terperangkap dalam pertempuran di kawasan bandar Gaza, menurut pegawai perubatan Hamas. Kira-kira 64 askar Israel maut dalam peperangan itu di samping dua orang awamnya. 

Peperangan itu meletus pada 8 Julai apabila Israel melancarkan serangan udara bagi membalas bedilan roket dari kawasan yang dikuasai Hamas di Gaza. 

Pada 17 Julai, Israel menghantar tentera daratnya untuk memusnahkan terowong yang digunakan oleh Hamas untuk serangan mereka. 

Laporan media menyatakan wakil pegawai Palestin daripada pelbagai puak termasuk Hamas, terbabit dalam perbincangan dengan Mesir sejak beberapa hari lalu. 

Jurucakap Hamas, Fawzi Barhoum, berkata pergerakannya sudah menerima perancangan berkenaan. 

"Adalah jelas bahawa kepentingan semua pihak adalah untuk mengadakan gencatan senjata," kata Bassam Salhi, seorang lagi anggota perwakilan Palestin. 

Mereka mengakui bahawa ia akan menjadi perbincangan sukar kerana Israel juga mempunyai tuntutan tertentu. 

"Tiada jaminan tidak berlaku lagi serangan," kata Bassam. 

Hamas mahu pengunduran Israel sepenuhnya daripada Gaza, penarikan balik sekatan Israel-Mesir di wilayah berkenaan, pembebasan tahanan Hamas dan bantuan antarabangsa bagi membina semula Gaza.

Israel, Hamas, Palestin, Gaza

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain