suria

Gaza: Palestin-Israel Dijangka Teruskan Rundingan Gencatan Senjata

KAHERAH: Rundingan tidak langsung untuk gencatan senjata di Gaza dijangka akan diteruskan di Kaherah pada Ahad, tetapi perunding Palestin memberi amaran akan meninggalkan ibu negara Mesir itu jika delegasi Israel gagal muncul.

Pegawai-pegawai Palestin berkata mereka telah diberitahu bahawa delegasi Israel dijadual tiba di ibu negara Mesir pada Ahad.

"Delegasi dijangka tiba pada Ahad untuk perbincangan itu," kata seorang pegawai Palestin.

Seorang lagi anggota delegasi, timbalan ketua Hamas, Mussa Abu Marzuq, memberi amaran bahawa tempoh 24 jam seterusnya adalah amat penting.

Israel "melengah-lengahkan masa dan tempoh 24 jam akan datang akan menentukan nasib rundingan," katanya.

Hamas, kumpulan militan yang mengawal Gaza, enggan untuk melanjutkan gencatan senjata 72 jam pada Jumaat, menuduh Israel melengah-lengahkan rundingan untuk mengakhiri sekatan di Gaza, syarat yang dimahukan rakyat Palestin.

Seorang pegawai dalam delegasi itu berkata pasukan itu akan meninggalkan Kaherah "untuk berunding dengan (Palestin) kepimpinan" jika Israel tidak muncul pada hari Ahad.

Pesawat perang Israel membedil Gaza dengan 50 serangan udara yang membunuh sekurang-kurangnya lapan rakyat Palestin pada Sabtu manakala militan melepaskan 23 serangan roket ke Israel.

Mesir, yang bertindak sebagai perantaraan dalam rundingan tidak langsung antara Palestin dan Israel, telah memberi tekanan kepada kedua-dua pihak untuk menamatkan pertempuran.

Artikel Lain