DENPASAR (Indonesia): Mayat seorang pelancong warga Amerika Syarikat (AS) ditemui dalam beg pakaian di sebuah hotel di Bali, kata polis pada Rabu. Menurut polis, anak perempuan kepada mangsa bersama teman lelakinya ditahan berhubung kejadian. Mayat Sheila von Wiese Mack yang disumbat dalam beg pakaian ditemui pada Selasa dalam but sebuah teksi di hadapan hotel lima bintang St Regis di kawasan resort Nusa Dua di Bali. Mangsa berusia 62 tahun itu ditemui dalam keadaan separuh bogel, mengalami beberapa kesan cedera di kepalanya yang dikatakan sebagai tindakannya untuk melepaskan diri, kata doktor yang membuat pemeriksaan ke atas mayat berkenaan. Beg pakaian itu dilitupi dengan cadar katil dan ditutup menggunakan pita pelekat yang mempunyai kesan darah. Mack menginap di hotel bersama anak perempuannya, Heather, 19, dan teman lelaki Heather, Tommy Schaefer, 21, kata ketua polis tempatan, Djoko Hari Utomo kepada pemberita. Mangsa dan anak perempuannya menginap di hotel itu selama beberapa hari sebelum teman lelaki anak perempuannya datang menyertai mereka pada Isnin, kata Utomo. Beliau berkata, kamera litar tertutup (CCTV) merakamkan Mark berkelahi dengan Schaefer di lobi hotel pada malam yang sama. Pasangan itu mendaftar keluar pada hari berikutnya dan beberapa beg pakaian dibawa masuk sebuah teksi, termasuk beg yang mengandungi mayat mangsa. Utomo berkata, mayat itu ditemui apabila pasangan terbabit tidak datang ke teksi yang sedang menunggu. Rakaman CCTV menunjukkan mereka meninggalkan hotel melalui pantai di belakang kawasan itu daripada menggunakan pintu utama. Polis melancarkan operasi memburu pasangan itu dan mereka ditemui di sebuah hotel di Legian, utara Nusa Dua pada awal pagi Rabu, kata Utomo kepada AFP. "Ini adalah kes bunuh, dan kita akan menentukan daripada siasatan kita sama ada ia dirancang atau tidak sengaja," katanya. Mayat mangsa dihantar ke hospital utama di bandar Denpasar di Bali. Seorang doktor berkata, terdapat beberapa kesean cedera di kepala. "Melihat kepada kecederaan itu, mangsa mungkin cuba untuk berlawan balik," kata Ida Bagus Alit, sambil menambah bahaawa salah satu daripada jari tangan kirinya patah," katanya. - AFP