DENPASAR (Indonesia): Sebuah pesawat Thai Airways dalam penerbangannya dari Sydney ke Bangkok terpaksa melakukan pendaratan cemas di Bali, Indonesia selepas menyedari terdapat retakan pada cermin tingkap kokpit, menurut syarikat penerbangan itu pada Rabu. Menurut kenyataan itu, pesawat Boeing 747 yang membawa seramai 273 penumpang dan 21 kru itu, sedang melalui penerbangan selama enam jam pada Selasa apabila kapten menemui kesan retak tersebut dan membuat keputusan untuk mendarat di Bali. Seorang jurucakap bagi lapangan terbang di Bali memberitahu bahawa pendaratan pesawat itu dilakukan pada pukul 5 petang waktu tempatan yang menyifatkannya sebagai "gangguan kecil". Tiada kecederaan dilaporkan dan para penumpang ditempatkan di sebuah hotel di Bali untuk satu malam. Mereka kemudiannya diterbangkan ke Bangkok menggunakan pesawat lain pada Rabu. Thai Airways berkata, syarikat penerbangan itu menghantar satu pasukan penyiasat ke Bali untuk menyiasat insiden itu dan mengawasi pertukaran cermin tingkap yang retak. - AFP