BANDAR GAZA (Wilayah Palestin): Jumlah rasmi kematian akibat konflik di Gaza kini mencecah 2,016 orang sehingga petang Isnin manakala jumlah yang dicatatkan sebagai cedera mencapai 10,196, demikian menurut angka yang dikeluarkan pihak berkuasa kesihatan Hamas di sini. Agensi berita AFP melaporkan, daripada jumlah tersebut, 541 adalah kanak-kanak, 250 wanita dan 95 orang adalah warga tua. Dalam pada itu, tentera Israel pula mengesahkan jumlah askar mereka yang terkorban sejak konflik ini meletus ialah 64 orang. Tetapi daripada jumlah itu, lima dicatatkan sebagai mati secara tidak sengaja yang bukan diakibatkan oleh pihak musuh. Gaza kini sedang 'menikmati' lapan hari yang tenang tanpa letupan dan bunyi dentuman senjata, ekoran dua persetujuan gencatan senjata tetapi kini menunggu dengan penuh debar menjelang tamatnya tempoh damai pada jam 9 malam nanti. Setakat ini belum ternampak sebarang lanjutan gencatan sejak wakil-wakil Israel dan Palestin duduk semeja di Kaherah untuk membincangkan langkah seterusnya. Matlamat utama rundingan tersebut adalah untuk mencapai penyelesaian jangka panjang untuk menghentikan pertempuran yang telah berlangsung lebih sebulan sejak ia meletus pada 8 Julai lalu. Walaupun kedua-dua belah pihak telah mengurangkan serangan dan serang balas sejak 4 Ogos lalu - terima kasih kepada gencatan senjata yang dicapai - tetapi sebaik sahaja tempoh tersebut tamat malam nanti, tiada siapa yang berani memberi jaminan apakah yang bakal berlaku kemudian. Presiden Palestin, Mahmud Abbas dijadualkan terbang ke Doha, Qatar untuk bertemu dengan pemimpin Hamas dalam buangan, Khaled Meshaal pada Selasa dan juga untuk berunding dengan Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad al-Thani bagi mencari jalan penyelesaian seterusnya. Qatar adalah pelindung utama Hamas. Hamas adalah pemerintah de facto keseluruhan wilayah Gaza. Selepas bertemu Meshaal di Doha, Mahmud Abbas akan berlepas ke Kaherah pula menjelang Jumaat untuk berunding dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi. Mesir bertindak sebagai orang tengah di antara Palestin dan Israel. Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menegaskan yang pihaknya hanya akan menerima persetujuan damai jangka panjang yang mengandungi "jawapan jelas kepada resolusi keselamatan" yang diperlukan Israel manakala Hamas menegaskan, mereka hanya bersetuju kepada perdamaian jika Israel menarik balik sekatan lapan tahun ke atas Gaza.