PETALING JAYA: Pelabuhan Barat dekat sini dipercayai menjadi lokasi rokok putih seludup sebelum ia dibawa ke negara ketiga. Pengarah Jabatan Kastam Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Isa Endot berkata, kegiatan itu dipercayai didalangi oleh sindiket antarabangsa yang mengisytiharkan barangan lain terhadap rokok putih yang ketika transit. "Sindiket ini membuat ikrar palsu pada dokumen ketika melakukan transit rokok putih di pelabuhan. "Mereka mengikrar barangan seperti pendingin hawa tingkap, almari atau perabot sebelum membawanya ke negara ketiga. "Di pelabuhan itu, kesemua rokok putih ini akan ditukar kontena dan ejen perkapalan yang baharu sebelum ia diseludup masuk ke negara lain dengan membuat ikrar barangan yang sama melalui dokumen perkapalan baharu," katanya pada sidang media di Komples Kastam di Kelana Jaya pada Selasa. Mohd Isa memberitahu, sebelum ini, Kastam berjaya merampas sebanyak 8 buah kontena mengandungi rokok putih di Pelabuhan Barat dan Pelabuhan Tanjung Pelepas di Gelang Patah, Johor dari Januari Hingga Ogos tahun ini. "Sebanyak 73.6 juta batang rokok putih bernilai RM4.2 juta melibatkan cukai berjumlah RM37.3 juta telah dirampas. "Bagaimanapun tiada tangkapan dibuat ketika rampasan dilakukan oleh anggota dan pegawai Kastam," jelasnya.