JAKARTA: Penduduk Desa Sembung di Karangjati, Jawa Timur, digemparkan dengan tragedi seperti cerita dalam lagu Bang Toyib. Bosan dengan sikap si suami yang jarang pulang, Susanti, 20, nekad menamatkan riwayatnya dengan menggantung diri di rumah. Lebih malang, Susanti tidak bersendirian, sebaliknya dia ‘membawa’ anaknya yang baru berusia tiga bulan, Alfaril Setia Pratama, untuk mati bersama. Mayat pasangan anak beranak itu ditemui tergantung dalam bilik tidur di rumah mereka pada Khamis. Saksi berkata, Susanti menggunakan kain yang dipintal sebagai tali menggantung diri. Katanya, kematian suri rumah itu disedari selepas Suminah, 45, yang juga ibu Susanti, datang ke situ kira-kira pukul 4.30 petang. “Ketika itu Suminah yang bekerja sebagai pembungkus keropok di rumah jiran mereka baru pulang. “Sebaik saja melihat mayat dua beranak itu, Suminah menjerit meminta tolong. Dia juga berlari membawa Alfaril ke klinik kesihatan desa yang terletak kira-kira 100 meter dari rumah berkenaan,” katanya. Namun, kata saksi itu, sebelum sampai ke klinik desa itu Alfaril sudah berhenti bernafas. Polis pula berkata, mereka bergegas ke rumah itu sebaik dimaklumkan kejadian berkenaan. Jurucakap polis berkata, mereka menemui surat terakhir ditinggalkan Susanti. “Ada tujuh helai surat ditulis Susanti dan daripada kata-katanya, kami mendapat tahu dia kecewa dengan suaminya yang jarang pulang dan mengabaikan keluarga,” katanya.