> Beribu dikhuatiri hilang pekerjaan jika Scotland memilih untuk keluar dari UK minggu depan > Boleh dikatakan kesemua institusi perbankan mahu meninggalkan negara itu > Firma minyak dan gas gergasi BP dan Shell tidak menyokong Scotland keluar dari UK > Scotland tidak mempunyai bank pusat untuk keluarkan mata wang sendiri > Orang-ramai mula memindah keluar wang simpanan dari bank-bank di Scotland THE Royal Bank of Scotland (RBS) mengumumkan pada Khamis bahawa mereka akan menghentikan operasi di negara itu jika para pengundi mengundi untuk membawa Scotland keluar dari kesatuan United Kingdom (UK) dalam referendum yang akan berlangsung seminggu dari sekarang. Rakyat Scotland akan mengundi Khamis depan sama ada akan terus berada di dalam kesatuan yang sudah berusia 307 tahun itu atau memilih untuk merdeka sepenuhnya. Jika Scotland memilih untuk merdeka, RBS menegaskan yang mereka akan memindahkan semua operasi mereka ke England. Keputusan tersebut merupakan satu tamparan kepada para pengerak pemisah kerana setakat ini kebanyakan institusi kewangan dan juga firma-firma besar menunjukkan penolakan mereka kepada kemerdekaan Scotland sepenuhnya. Setakat ini tinjauan yang dijalankan menunjukkan 53 peratus warga Scotland enggan berpisah dari kesatuan UK manakala baki 47 peratus lagi pro merdeka. Firma gergasi seperti John Lewis dan Waitrose mengeluarkan kenyataan yang menyatakan para pembeli di Scotland berhadapan dengan kemungkinan kenaikan harga barangan harian seandainya mereka memilih untuk keluar dari kesatuan UK. Manakala dua firma minyak dan gas, British Petroleum dan Shell juga turut menolak sebarang langkah untuk Scotland meninggalkan kesatuan UK. RBS, yang beroperasi dari Scotland sejak penubuhannya pada 1727 telah membuat keputusan untuk berpindah ke England jika bangsa Scotland membuat keputusan meninggalkan kesatuan UK. Bukan sahaja RBS malah Kumpulan Perbankan Lloyds yang mempunyai dua buah institusi kewangan terbesar iaitu Halifax dan Bank of Scotland dengan kekuatan 16,000 staf beroperasi di Scotland sahaja semalam turut membuat keputusan yang serupa - memindahkan operasi dan ibu pejabat mereka ke London jika rakyat Scotland bersetuju untuk berpisah dari kesatuan UK. Bank ketiga terbesar di Scotland, Clydesdale, dilaporkan bakal membuat keputusan yang serupa manakala Standard Life Bank pula berkata mereka akan memindahkan separuh daripada operasi ke England sekaligus meletakkan lebih 5,000 kakitangannya berhadapan dengan risiko kehilangan kerja. Sementara itu Perdana Menteri, David Cameron, telah melakukan lawatan segera ke Edinburgh, ibu kota Scotland untuk merayu para penduduk di sana menolak cadangan kemerdekaan kerana ia akan membawa bencana kepada ekonomi kedua-dua buah negara. Dalam ucapannya dalam satu pertemuan awam, perdana menteri Britain itu hampir-hampir menitiskan air matanya apabila beliau berkata; "Hati saya akan berkecai jika Scotland memutuskan untuk keluar dari kesatuan UK." Cameron berkata yang syarikat-syarikat gergasi seperti Lloyds, Standard Life, Tesco Bank, Scottish Widows dan Virgin Bank kesemuanya menggaji tidak kurang dari 13,000 pekerja di Edinburgh sahaja dan ini semua akan terjejas jika mereka memutuskan untuk memindahkan operasi mereka ke England. Adalah difahamkan yang berjuta pound steling, wang hasil simpanan pencen dan pemegang akaun yang lain telah mula dipindahkan dari Standard Life, yang merupakan salah sebuah firma perbankan yang terbesar di Scotland kerana khuatir dengan suasana tidak menentu berhubung referendum yang akan dijalankan minggu depan itu. Institusi kewangan itu yang ditubuhkan di Edinburgh pada 1825, mempunyai lebih 5,000 staf di Scotland sahaja manakala 500 lagi staf bertaburan di serata UK. Tetapi masalah terbesar Scotland ialah, ia tidak memiliki bank pusat sepertimana England untuk mengeluarkan mata wang sendiri dan mengawal kadar faedah sepertimana bank-bank pusat yang lain. Dalam pada itu, dua firma gergasi minyak dan gas - BP dan Shell - masing-masing mempunyai pekerja sehingga 10,000 orang di Scotland. Jika kedua-duanya memindahkan operasi keluar dari Scotland, ia adalah malapetaka kepada beribu kakitangan di negara itu. BP dalam kenyataan medianya menegaskan; "BP percaya prospek masa depan industri minyak di Laut Utara adalah yang terbaik jika berada di dalam kesatuan United Kingdom." Referendum untuk menentukan sama ada rakyat Scotland memilih untuk terus kekal di dalam kesatuan UK atau merdeka diputuskan oleh parlimen Britain dua tahun sudah selepas Parti Nasionalis Scotland membawa usul untuk menyerahkan kuasa menentukan masa depan negara mereka di tangan bangsa dam warga Scotland sendiri.