PRETORIA: Oscar Pistorius didapati bersalah kerana bertindak melulu hingga membunuh teman wanitanya, Reeva Steenkamp. Pada Khamis, Pistorius terlepas dengan sabitan membunuh tanpa niat, namun hakim Thokozile Masipa menegaskan bahawa dia tidak bertimbang rasa berdepan insiden itu yang menyebabkan dia melepaskan empat das tembakan ke arah pintu tandas. "Dia bertindak melulu dan berlebih-lebihan. Dalam keadaan ini, jelas dia gagal mengawal kelakuanya," jelas Masipa pada Khamis. Pada Jumaat, ketika penjelasan mengenai keputusan bersalah ini dibuat, Masipa berkata: "Seorang yang berfikiran waras, dengan keupayaan yang sama, boleh berfikir bahawa orang di belakang pintu itu akan terbunuh, malah dia gagal untuk mengambil tindakan agar insiden ini tidak berlaku". Pistorius, 27, dituduh membunuh kekasihnya yang berusia 29 tahun itu selepas mereka dilaporkan bertengkar dan ketika keputusan tersebut dibaca, dia tidak menunjukkan sebarang emosi. Pistorius melepaskan tembakan ke arah Reeva ketika model Afrika Selatan itu bersembunyi di dalam tandas menyebabkan dia terkena peluru di kepala, lengan dan pinggang. Atlet itu mendakwa dia tersalah sangka Reeva adalah penceroboh yang memecah masuk ke rumahnya. Masipa berkata, walaupun mungkin Pistorius berdepan dengan penceroboh, dia masih boleh mengambil tindakan lain seperti menghubungi polis untuk mengelak kematian. Kata Masipa, walaupun pendakwa bertegas Pistorius memang berniat membunuh Reeva selepas mereka bertengkar semalaman, fakta yang dikemukakan sebagai hujah tidak mencukupi. Mengenai keterangan bela diri Pistorius, Masipa berkata, tertuduh adalah “saksi yang teruk” kerana gagal mengawal perasaan dan pada ketika tertentu berdolak-dalik. Ketika orang ramai berasa cemas dan ternanti-nanti keputusan penuh yang bakal menentukan nasib Pistorius selepas mula dibicarakan enam bulan lalu, Masipa kemudian berhenti membacakan keputusannya dan berkata, dia akan menyambung penghakiman pada Jumaat. Disebabkan perbicaraan di Afrika Selatan tidak membabitkan juri, Masipa dijangka menjelaskan dengan teliti mengapa dia dan dua pembantu perundangan membuat kesimpulan bagi kes itu sebelum menyatakan keputusan akhir. “Saya berpendapat tertuduh bertindak terlalu semberono dan menggunakan kekerasan melampau. “Bagaimanapun pendakwa tidak membuktikan melangkaui keraguan munasabah bahawa Pistorius melakukan pembunuhan terancang,” katanya. Pistorius menjadi perhatian ramai kerana kebolehannya dalam sukan balapan walaupun menggunakan kaki palsu. Digelar Blade Runner, kedua-dua kaki Pistorius dipotong dari lutut ke bawah ketika dia berusia 11 tahun selepas dilahirkan dengan kecacatan fibular. | Selain bertanding dalam sukan paralimpik, Pistorius turut memberi cabaran dalam Sukan olimpik.