NEW JERSEY: Seramai 28 kanak-kanak prasekolah dan dua dewasa terminum cecair pencuci ketika waktu rehat di sebuat pusat jagaan pada Khamis. Mereka kemudian dikejarkan ke hospital selepas ada yang mengadu mengalami rasa tidak selesa dan panas dalam perut. Kanak-kanak terbabit berusia antara tiga dan empat tahun. Semua mangsa berada di Pusat Pembelajaran Growing Tree di tengah New Jersey. Lima ambulans digunakan bagi membawa 30 mangsa terbabit ke Pusat Perubatan Jersey City apabila panggilan kecemasan ke talian 911 dibuat. Jurucakap hospital, Mark Rabson berkata, sesetengah mangsa mengadu pening, manakala yang lain sakit perut. “Menjelang tengah hari semua 30 mangsa berada dalam keadaan stabil dan dibenarkan keluar dari hospital,” katanya. Walaupun mengalami keracunan, Rabson berkata, kebanyakan kanak-kanak itu berjalan sendiri atau dibantu ibu bapa masing-masing. Katanya, mereka tiba di hospital dengan tersenyum. Pusat penjagaan prasekolah itu dimiliki Kesatuan Cerebral Palsy Hudson yang terbuka kepada semua golongan kanak-kanak. Ketika ini ada 65 kanak-kanak berusia daripada bayi hingga empat tahun ditempatkan di situ. Pengarah eksekutif pusat itu, Keith Kearney berkata, seorang petugas di bahagian dapur menuang cecair pencuri dalam sebuah botol ke dalam gelas untuk diminum kanak-kanak terbabit. “Ia adalah bekas plastik susu yang digunakan semula sebagai bekas cecair pembersih. “Label yang dilekatkan pada botol itu tidak cukup besar untuk disedari kakitangan berkenaan,” katanya. Ketika kejadian, kata Kearney, kanak-kanak di pusat jagaan itu berehat sambil makan buah-buahan serta minuman apabila seorang petugas di situ terhidu bau yang kuat. Dia kemudian segera melaporkan mengenai bau itu kepada pihak pentadbiran. Pasukan penyelamat dikejarkan ke situ secepat mungkin selepas panggilan kepada nombor 911 dibuat. Mangsa kemudian diberi minuman serta susu bagi mengurangkan kesan cecair pencuci itu.