suria

Pasukan Tentera Udara Scotland Kerja Waktu Pejabat Saja Jika Pilih Merdeka

Jika merdeka, kerajaan baru Scotland akan menuntut 12 buah pesawat pejuang canggih Typhoon daripada Kerajaan Britain.

LONDON: Jika Scotland memilih untuk memerintah sendiri dan menarik diri dari kesatuan United Kingdom, ini bermakna pasukan tentera udaranya hanya akan beroperasi mengikut waktu kerja biasa.

Pakar ketenteraan dari firma konsultan IHS Jane menegaskan, bajet yang rendah akan memaksa tentera udara diraja Scotland yang akan dibentuk jika rakyat negara itu memilih untuk memerintah sendiri dalam satu referendum pada Khamis ini beroperasi bagaikan pasukan separuh masa.

Edward Hunt, dari firma berkenaan juga menambah, ini bermakna kerajaan baru Scotland akan memaksa angkatan udaranya beroperasi sepertimana Switzerland atau Austria.

Tentera Udara Switzerland hanya beroperasi pada waktu kerja biasa lima hari seminggu sahaja kerana bajet perbelanjaan operasi yang terhad, kekurangan juruterbang dan anggota teknikal.

Austria pula hanya memiliki 12 buah pesawat pejuang moden Typhoon.

Scotland yang merdeka juga akan memiliki jumlah pesawat yang sama jika mereka memilih untuk memerintah sendiri dan hanya akan beroperasi dari jam 8 pagi hingga 4 petang sahaja.

Ini akan menjadikan Scotland bergantung harap kepada pasukan Tentera Udara Diraja Britain jika ruang udara mereka diceroboh atau mereka menerima ancaman daripada pengganas mahupun perampas.

Kerajaan baru Scotland hanya merancang untuk memperuntukkan sekitar £2.5 bilion setahun dari bajet keseluruhan mereka untuk sektor pertahanan.

Sekiranya majoriti warga Scotland memilih untuk memerintah sendiri, kerajaan baru Scotland berhak menuntut dua buah kapal friget, empat buah kapal anti-periuk api dan 12 buah pesawat Typhoons daripada angkatan tentera Britain.

Scotland merancang untuk membentuk 15,000 anggota tentera dalam tempoh 10 tahun dari tarikh kemerdekaan penuh.

"Tetapi ini menjurus ke arah wujudnya pasukan ketenteraan yang lompang yang sekaligus menjejaskan keselamatan dari ancaman luar," ujar Hunt.

Scotland, UK, Britain

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain