POLIS Latvia tidak boleh menahan suspek utama yang dikaitkan dengan kehilangan remaja perempuan 14 tahun Alice Gross walaupun Arnis Zalkalns kembali ke negara itu. Ini disebabkan Polis British tidak mempunyai bukti yang kukuh untuk mengeluarkan waran bagi menahan Zalkaln. Bekas banduan ini dilihat berbasikal beberapa minit bersebelahan remaja itu sebelum dilaporkan hilang empat minggu lalu di jambatan laluan berjalan kaki di barat London. Manakala Zalkalns pula hilang enam hari kemudian. Gross dilihat berjalan kaki sebelum hilang. Pihak berkuasa Latvia telah menjelaskan mereka tidak boleh menahan suspek tanpa surat waran. "Ia mengikut undang-undang, kecuali kamu telah mengemukan tuduhan terhadap seseorang atau kecuali kamu mempunyai bukti untuk menuduh, kamu tidak boleh membuat sebarang tahanan," jelas Komander Scotland Yard, Graham McNulty. Pegawai Scotland Yard telah berkunjung ke Latvia, berjumpa dengan keluarga suspek yang dijangka telah meninggalkan Britain selepas kehilangan remaja itu pada 3 September lalu. Zalkalns,41, berhijrah ke Britain pada tahun 2007 selepas dibebaskan dari penjara kerana memukul dan menikam isterinya, Rudite sehingga mati. Dia tinggal bersama teman wanitanya dan anak perempuan di London sehingga kehilangannya dikesan. Pada tahun 2009, Zalkalns ditahan dengan dakwaan serangan mencabul di kawasan rumahnya di Ealing, namun kes itu ditutup selepas mangsa menarik balik tuduhan kerana permintaan untuk melihat rakaman litar tertutup (CCTV) serta rayuan untuk mencari saksi gagal dipenuhi.