suria

Ontake Meletus: Helikopter Tentera Bawa Turun Mayat

Helikopter mendarat di Gunung Ontake bagi membawa turun mangsa kejadian gunung berapi itu meletus.
KASO: Helikopter tentera terpaksa digunakan untuk membawa turun mangsa kejadian Gunung Ontake yang meletus sejak Sabtu lalu.

 

Sehingga Isnin, gunung berapi itu dikatakan masih mengeluarkan gas toksik dan debu panas hingga menyukarkan operasi mencari yang dijalankan pasukan keselamatan negara matahari terbit itu.

Media Jepun melaporkan ada antara mayat yang ditemui tertimbus dalam debu.

Sebelum ini empat mayat sudah dibawa turun dan pada Isnin, lapan lagi dibawa helikopter tentera negara itu, manakala 24 lagi mangsa masih berada di puncak gunung berkenaan.

Siaran stesen televisyen Jepun, TBS menayangkan visual sekumpulan anggota tentera membawa mayat mangsa dalam beg mayat menaiki helikopter tentera yang mendarat di kawasan lapang untuk dibawa turun.

Mayat mangsa terbabit kemudian dikumpulkan di padang rumput untuk tujuan pengecaman oleh anggota keluarga yang berkumpul di situ.

"Keadaan di lokasi gunung berapi berbau gas sulfur serta asap yang masih tebal menyebabkan usaha mencari baki mangsa terpaksa ditangguhkan," kata seorang anggota penyelamat, Morimoto.

Sabtu lalu, gunung berapi Ontake berketinggian 3,067 meter yang menjadi salah satu lokasi mendaki popular terletak 210 kilometer dari barat Tokyo telah meletus selepas kali terakhir ia meletus pada tahun 1979, namun tiada kematian dilaporkan. 


 

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Kekasih Gelap Mati Jatuh Balkoni

Artikel Lain