suria

Remaja Bunuh Ibu Angkat Dipenjara Seumur Hidup

Sabrina dipenjara seumur hidup kerana membunuh ibu angkatnya pada 2012.
CLEVELAND: Seorang remaja dari Ohio yang mendakwa dia membunuh ibu angkatnya akibat hasutan suami mangsa, dihukum penjara seumur hidup dalam prosiding yang berlangsung pada Isnin.

Sabrina Zunich, 19, pada bulan lalu mengaku salah atas tuduhan menikam sehingga mati Lisa Knoefel, 41 dalam kejadian pada 2012.

Lebih 150 kesan tikaman dan kecederaan akibat pisatu sepanjang lebih 25 sentimeter.

Pembunuhan berlaku kira-kira jam 1.15 pagi pada 26 November itu.

Pihak berkuasa berkata, anak perempuan Lisa yang berusia 13 tahun ketika itu mendakwa melihat ibunya bergelut menyelamatkan diri ketika diserang Sabrina.

Dia kemudian menghubungi talian kecemasan 911 untuk mendapatkan bantuan.

Ketika pasukan keselamatan tiba, mereka menemui Sabrina berlumuran darah dan masih memegang pisau.

Dalam perbicaraan, Sabrina turut memberi keterangan terhadap bapa angkatnya, Kevin Knoefel, yang menghadapi tuduhan merancang pembunuhan dan serangan seksual.

Di mahkamah lain Knoefel, 44, disabitkan kesalahan dan dihukum penjara 44 tahun.

Sabrina dan Knoefel hanya berpeluang mendapat parol selepas 30 tahun menjalani hukuman itu.

Pendakwa berkata, mereka berjaya membuktikan kesalahan Knoefel dengan keterangan daripada Sabrina.

Sementara itu, sebelum hakim menjatuhkan hukuman ke atasnya, Sabrina sempat bercakap kepada wartawan.

Sambil menangis, dia berkata, Lisa tidak sepatutnya mati.

“Saya tak dapat jelaskan betapa sedih dan menyesalnya saya,” katanya.

Sabrina mula tinggal bersama keluarga angkatnya pada 2011, tetapi dengan tugas Lisa sebagai pekerja sosial, ia bukanlah keputusan yang sempurna.

Lisa dan suaminya pernah menjaga anak angkat sebelum ini dan rumah tangga mereka pula sering bermasalah.

Knoefel mula menggoda Sabrina dan tidak lama kemudian mereka mula berasmara sebelum hubungan itu berkembang menjadi perancangan membunuh Lisa.

Ketika perbicaraan Sabrina berkata, sehari sebelum kejadian berlaku Knoefel mengancam untuk membunuh diri jika isterinya tidak dibunuh.

Sabrina mendakwa Knoefel menasihatinya mengenai cara menikam Lisa sebelum memandu ke Michigan ketika serangan berlaku.

Pendakwa yakin wang adalah motif utama Knoefel mahu Lisa mati.

Dia berharap mendapat bayaran daripada insuran nyawa Lisa bernilai AS$750,000 atau hampir RM2.5 juta.

Sabrina Zunich, Lisa Knoefel

Artikel Sebelum

Kekasih Gelap Mati Jatuh Balkoni

Artikel Berikut

Artikel Lain