TOKYO: Jepun pada Rabu meraikan ulang tahun ke-50 permulaan kereta api 'Shinkansen' berkelajuan tinggi atau 'bullet train' yang menyumbang kepada keadaan ekonomi pasca perang negara berkenaan serta rekod keselamatannya. Kereta api N700A yang mirip rupa pesawat itu meninggalkan Platform 19 dari stesen sentral Tokyo pada jam 6 pagi ini, tepat 50 tahun sejak perkhidmatan itu dilancarkan bagi perjalanan yang melalui kawasan perindustrian Pasifik antara Tokyo dan Osaka. "Perkhidmatan itu menyumbang kepada pembangunan ekonomi, budaya dan sosial Jepun dengan pengangkutan rel terbaik dunia," kata Koei Tsuge, Presiden JR Tokai yang mengendalikan sebahagian besar rangkaian rel di seluruh negara, sejurus sebelum kereta api itu berlepas. "Tiada sesiapa pun maut dalam kejadian kereta api tergelincir atau perlanggaran yang membabitkan kereta api 'Shinkansen'. "Keselamatan adalah perkara utama perkhidmatan kami," katanya ketika kereta api itu meninggalkan stesen menuju ke Fukuoka, perjalanan lebih jauh dari Osaka. Majlis sama juga diadakan di Osaka dan dua bandar raya lain di antaranya iaitu Shizuoka dan Nagoya. Perkhidmatan Tokyo-Osaka itu membawa sejumlah 5.6 bilion penumpang sejak dirasmikan, dengan jumlah perjalanan sejauh dua bilion kilometer. Pada masa ini secara purata kira-kira 424,000 penumpang menggunakan perkhidmatan itu setiap hari, berbanding dengan kira-kira 60,000 pada tahun pertama. Pada 1964, apabila Tokyo menjadi hos Kejohanan Olimpik pertama di Asia, kereta api itu melakukan perjalanan dengan kelajuan 210 kilometer sejam, meliputi 515 kilometer antara Tokyo dan Osaka dalam masa empat jam. Kini ia menghubungkan kedua-dua bandar raya itu dalam masa dua jam 25 minit, pada kelajuan 270 kilometer sejam. Shinichi Kamura, 64, menaiki kereta api pertama 'Shinkansen' dari Tokyo ke Osaka hari ini, seperti dilakukannya 50 tahun lalu sebagai pelajar.