suria

1,500 Penumpang Sain Petisyen Minta Penerbangan Israel Halang Penganut Fahaman Orthodoks Yahudi

Salah sebuah model pesawat Boeing 747 milik Syarikat Penerbangan Israel El Al.

NEW YORK: Satu petisyen yang ditandatangani oleh 1,500 orang telah dikirimkan kepada syarikat penerbangan Israel - El Al - menggesa syarikat itu mengambil langkah-langkah sepatutnya untuk menghalang penumpang-penumpang dari kalangan penganut fahaman orthodoks ultra Yahudi daripada terus 'membuli' kaum wanita dan lain-lain penumpang pada masa hadapan.

Portal berita Britain,The Mail Online melaporkan, petisyen tersebut dibuat selepas para penumpang pesawat syarikat penerbangan tersebut yang akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa JFK di sini ke Israel menyaksikan bagaimana penerbangan mereka terpaksa ditangguhkan selepas beratus penumpang orthodoks ultra Yahudi enggan duduk bersebelahan dengan penumpang wanita.

Mereka juga dilaporkan enggan berganjak dari laluan di dalam pesawat selagi penumpang lain tidak memenuhi permintaan mereka untuk bertukar tempat duduk.

Petisyen tersebut adalah inisiatif salah seorang penumpang wanita dari Chicago yang bernama Sharon Shapiro yang turut berada di dalam pesawat berkenaan ketika insiden kelam-kabut itu berlaku.

Sharon dalam petisyen tersebut menulis; "Kita semua sedia maklum jika ada penumpang yang bersikap agresif dan mencela ke atas mana-mana anak kapal, mereka akan dengan segera dikeluarkan dari pesawat tersebut. Begitu juga dengan penumpang yang dengan segaja bertindak melengah-lengahkan jadual penerbangan sehingga menyebabkan penerbangan terpaksa ditunda, mereka juga akan dengan segera dikeluarkan dari pesawat.

"Jika ada penumpang secara terbuka memperlihatkan diskriminasi agama atau perkauman ke atas penumpang lain, atau ke atas anak kapal, mereka juga akan dengan segera dibawa keluar dari pesawat. Oleh itu kenapakah Penerbangan El Al membenarkan diskriminasi gender iaitu ke atas wanita berlaku di dalam pesawat mereka? Kenapa Penerbangan El Al membenarkan penumpang wanita dibuli, diganggu dan dicela sehingga mereka terpaksa menukar tempat duduk yang mereka bayar yang diberikan oleh syarikat penerbangan ini sewaktu mereka membeli tiket? Hak agama seorang penganut tidak bermakna mereka boleh menindas hak sivil orang lain."

Petisyen tersebut antara lain menyebut tindakan penganut-penganut fahaman orthodoks Yahudi di dalam pesawat berkenaan telah menyebabkan penerbangan tersebut terpaksa ditunda kerana mereka enggan duduk di sebelah penumpang wanita.

Mereka mengambil penerbangan itu untuk ke Israel bagi menyambut kedatangan tahun baru dalam kalendar Yahudi.Taktik mereka itu bukan sahaja telah menjejaskan jadual penerbangan malah telah mencetuskan huru-hara dan kekacauan di dalam pesawat.

"Beratus penumpang yang lain terpaksa berdiri di lorong laluan pesawat kerana penganut-penganut fahaman orthodoks ini enggan berganjak atau bergerak ke tempat duduk masing-masing sebaik sahaja mendapati penumpang di sebelah tempat duduk mereka adalah wanita," jelas seorang lagi penumpang, Amit Ben-Natan.

"Walaupun setiap penumpang memasuki pesawat dengan nombor tempat duduk sudahpun diberikan kepada mereka sewaktu membeli tiket tetapi terdapat di antara mereka memaksa kami menukar tempat duduk malah ada yang sanggup membayar sejumlah wang kepada kami asalkan kami sanggup menukar tempat duduk dengan mereka dengan alasan mereka tidak boleh duduk bersebelahan dengan wanita," kata seorang penumpang lagi.

"Jelas sekali selagi mereka tidak duduk, pesawat tidak akan berlepas...," ujar seorang lagi penumpang.

Menurut Mail Online, walaupun kakitangan kabin menegaskan yang para penumpang lain tidak perlu melayani desakan para penganut fahaman orthodoks Yahudi itu tetapi pada masa yang sama kapten pesawat membuat pengumuman bahawa pesawat berkenaan tidak akan berlepas selagi para penumpang tidak duduk di tempat masing-masing.

Apabila mendengar pengumuman berkenaan, para penganut fahaman orthodoks Yahudi ini mengambil kesempatan dengan enggan duduk selagi penumpang lain tidak bertukar tempat duduk dengan mereka.

Seorang penumpang yang bernama Galit berkata, seorang penumpang dari kalangan fahaman orthodoks ultra itu telah mencadangkan agar dia duduk berasingan dari rakan lelakinya bagi membolehkan mereka mengambil tempat duduknya dan apabila dia enggan melayani tuntutan tersebut, penumpang fahaman ultra itu mengambil keputusan untuk berdiri di laluan pejalan kaki sepanjang penerbangan tersebut.

"Ia adalah pengembaraan 11 jam yang menyeksakan," ujar penumpang berkenaan.

El Al dalam reaksi segera kepada petisyen tersebut menyebut; "El Al sentiasa melakukan yang terbaik untuk memberi kemudahan dan memenuhi permintaan para penumpang kami dan pada masa yang sama akan memastikan setiap penerbangan tidak terjejas. Dalam hubungan ini pihak syarikat akan meneliti aduan yang dibuat menerusi petisyen ini dan jika terbukti benar terdapat penumpang yang bertindak di luar batasan, kami akan menilai kembali langkah yang perlu diambil pada masa hadapan."

Sharon Shapiro percaya masalah ini hanya akan dapat diselesaikan jika pihak penerbangan terlebih dahulu membahagi-bahagikan tempat duduk mengikut gender ketika tempahan pada masa hadapan.

El Al, Israel, New York

Artikel Berikut

Artikel Lain